Keahlian Tun Dr. Mahathir sebagai Pengerusi dan Mukhriz sebagai Timbalan Presiden Bersatu telah digugurkan selepas tidak bersama kerajaan PN.

DALAM kenyataan media mereka, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Dr. Maszlee Malik dan Datuk Amiruddin Hamzah menyatakan bahawa:

(1) “Kami langsung tidak bersetuju bahawa keahlian kami terhenti secara serta-merta, apatah lagi ianya bertentangan dengan undang-undang serta juga menafikan hak kami untuk membela diri dan memberi penjelasan, iaitu hak yang dijamin di bawah prinsip kedaulatan undang-undang.”

(2) “Pihak kami tidak menerima pemecatan salah ini yang jelas bertentangan dengan undang-undang dan merizabkan hak untuk mengambil tindakan undang-undang yang berkaitan bukan sahaja untuk diri kami, tetapi untuk memastikan kemaslahatan ahli-ahli akar umbi parti Bersatu.”

Penegasan mereka berlima bahawa keputusan ini bertentangan dengan undang-undang serta juga menafikan hak mereka berlima untuk membela diri dan memberi penjelasan, iaitu hak yang dijamin di bawah prinsip kedaulatan undang-undang adalah tidak benar sama sekali kerana ia memang selaras dengan undang-undang.

Perlembagaan Bersatu hanya memperuntukkan hak untuk membela diri dan memberi penjelasan kepada kes pengenaan tindakan disiplin oleh Lembaga Disiplin sahaja, bukannya kepada kes keahlian terhenti secara serta-merta (automatik).

Mereka berlima menyatakan bahawa mereka hanya melaksanakan apa yang dibenarkan oleh undang-undang dan hak mereka di bawah Perlembagaan Persekutuan selaku Ahli Parlimen yang sah bila mengambil kedudukan di Parlimen pada 18 Mei 2020 sebagai wakil rakyat yang tidak menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN), tetapi mereka perlu sedar bahawa tindakan mereka ini juga telah melanggar Perlembagaan Bersatu yang merupakan satu undang-undang yang sah di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Mereka berlima, khususnya Tun Dr. Mahathir yang bertanggungjawab memasukkan Seksyen 18C ke dalam Akta Pertubuhan 1966 bagi memastikan tindakan beliau selaku Presiden UMNO tidak dicabar di mahkamah, seharusnya tahu bahawa Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 ini memperuntukkan bahawa:

“Keputusan sesuatu parti politik atau mana-mana orang yang diberikuasa olehnya atau oleh perlembagaannya atau kaedah-kaedah atau peraturan-peraturan yang dibuat di bawahnya tentang pentafsiran perlembagaan, kaedah-kaedah atau peraturan-peraturannya atau tentang apa-apa perkara yang berhubungan dengan hal ehwal parti itu adalah muktamad dan konklusif dan keputusan itu tidak boleh dicabar, dirayukan, dikaji semula, dibatalkan atau dipersoalkan di mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan, dan tiada mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk melayani atau memutuskan apa-apa guaman, permohonan, soal atau prosiding atas apa-apa alasan berkenaan dengan keesahan keputusan itu.”

Di dalam bahasa yang mudahnya, mengikut Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 ini, apa-apa sahaja keputusan sesuatu parti politik atau mana-mana orang yang diberikuasa olehnya adalah muktamad dan konklusif dan keputusan itu tidak boleh dicabar, dirayukan, dikaji semula, dibatalkan atau dipersoalkan di mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan.

Sepertimana Tan Sri Muhyiddin Yassin sewaktu dilucutkan keahlian UMNO beliau pada 24 Jun 2016 menghormati undang-undang dengan tidak mencabar, merayukan, mengkaji semula, membatalkan atau mempersoalkan keputusan ini di mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan kerana akur dengan peruntukan Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 ini, maka mereka berlima, khususnya Tun Dr. Mahathir, juga perlulah akur dengannya.

Pada 27 April 2018, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menggunapakai peruntukan Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 ini untuk menolak permohonan semakan kehakiman yang dikemukakan oleh 16 ahli UMNO dengan memutuskan bahawa ia tidak mempunyai bidang kuasa untuk melayani atau memutuskan apa-apa guaman, permohonan, soal atau prosiding atas apa-apa alasan berkenaan dengan keesahan keputusan sesuatu parti politik atau mana-mana orang yang diberikuasa olehnya.

Cubaan peguam kepada 16 ahli UMNO ini, iaitu Muhammad Haniff Khatri Abdulla untuk menghujahkan bahawa mahkamah mempunyai bidang kuasa berdasarkan keputusan kes-kes Semenyih Jaya Sdn Bhd dan Indira Gandhi juga gagal kerana mahkamah menyatakan ia tidak terpakai kepada parti politik.

Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ini, malah dipersetujui oleh Mahkamah Rayuan yang secara sebulat suara menyatakan bahawa ia tidak mempunyai sebarang alasan untuk menganggu keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 memang menetapkan bahawa apa-apa sahaja keputusan sesuatu parti politik atau mana-mana orang yang diberikuasa olehnya adalah muktamad dan konklusif dan keputusan itu tidak boleh dicabar, dirayukan, dikaji semula, dibatalkan atau dipersoalkan di mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan.

Tidak dinafikan bahawa 16 ahli UMNO ini sedang membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan, di mana rayuan ini dijadualkan akan didengar pada 26 Oktober 2020, tetapi sehingga Mahkamah Persekutuan menterbalikkan keputusan-keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ini, yang dijangkakan amat tipis untuk berlaku, maka status quo adalah kekal, iaitu bahawa keputusan sesuatu parti politik atau mana-mana orang yang diberikuasa olehnya tidak boleh dicabar, dirayukan, dikaji semula, dibatalkan atau dipersoalkan di mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan.

Percayalah, walau apa sahaja pun kenyataan dan tindakan yang akan mereka berlima buat dan lakukan selepas ini, sudah tiada esok bagimu lagi untuk mereka berlima, termasuk Tun Dr. Mahathir.

Percayalah juga bahawa yang sebenarnya bersikap diktator bukanlah Muhyiddin, tetapi Tun Dr. Mahathir yang memperkenalkan peruntukan Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 ini.

“You reap what you sow (apa yang kamu tanam itu yang kamu tuai).” – MalaysiaGazette

Dr Kamarul Zaman Yusof

Dr. Kamarul Zaman Yusof adalah penganalisis politik dan juga pensyarah di Universiti Utara Malaysia (UUM)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

7 Komen

  1. You reap what you sow – Che Det & sekutu-sekutunya ada sikit kelainan. Ini kes don’t do to others what you don’t want others to do to you .
    Che Det openly vowed to menjahanamkan PN di bawah kepimpinan TSMY. Jadi dia ingat orang nak tonggek kat dia macam ayam betina ka?
    Pada hemat saya TSMY sangat sabar dan menghormati Che Det tapi sabar pun ada had. Kan, kan, kan?
    Kalau ikut perkembangan Che Det dah letak jawatan pun sebagai PM dan presiden PPBM tapi nampaknya dia ni dah gila talak!

  2. Betul..akhirnya perkhianatan sudah mkn tuan nya sendiri..Allah tu maha kaya, tggu dan lihat shaja apa yg Allah akn buat kpd org tua tu…jgn kamu ingat Allah itu tidor, ingat kejahatan Allah akn blas dgn kejahatan..Allah bg peluang kpd kamu utk insaf, taubat , Allah bg umur pjng spya kamu kembali ke pada fitrah, tapu kamu lawan apa yg Allah bg..terima lh akibatnya nnti..

  3. Atok, KUBO sudah kata MARI..MARi..MAri..Mari..mari…iiiiiii….

    Rakyat seronok2 sahaje nengok drama ATOK kena sacking ni sambil makan pop corn….

    Tambah..tambahhh…lagi….

  4. His sumpah: “Jika saya berdusta, maka laknat Allah SWT atas diri saya dan jika saya benar, maka mereka yang memfitnah saya dan tidak bertaubat akan dilaknat oleh Allah SWT di dunia dan akhirat.”

    Ramai yang memfitnah, PEMFITNAH2 BERANTAI dari pasar2 malam sehinggalah yang tinggal/bekerja dipuncak2 bangunan tinggi telah terkena bahangnya bilamana Allah SWT menurunkan bala tenteranya Coronavirus!!!

    Kah..kah..kah…

  5. Kena sedar / insaf… Nampak atau kabur atau terus masih lg x sedar… Wahai tun..kamu sebenarnya sedang dilekakan terus dgn ‘hasil kebinasaan dr tanganmu sendiri’ di saat2 yg sgt ‘senja’buatmu NAMUN sangat2 myedihkn, kamu sedang dilekakan terus dr sepatut/sewajarnya mbuat persediaan untuk KEMBALI kpd SANG PENCIPTA KAMU…. PIKIR.. PIKIR .. KAN WAHAI TIN MAHATHIR BIN MUHAMMAD…

  6. Minta mereka mencabar undang pertubuhan 1966 18c itu dimahkamah jika mereka tidak melanggar perlembagaan parti dan undang undang negara.

Comments are closed.