Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini memaklumkan terdapat 30 kes baharu positif Covid-19.

Bagaimanapun daripada jumlah itu, hanya 10 kes penularan di kalangan rakyat tempatan dilaporkan.

“Daripada 30 kes baharu yang dilaporkan, tiga kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara. Daripada 27 kes penularan tempatan, 17 kes adalah kes bukan warganegara Malaysia manakala kes penularan  tempatan dalam kalangan warganegara Malaysia adalah 10 kes sahaja,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Daripada pertambahan kes itu, jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 7,762 kes dengan kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 1,317 kes.

Tiada kematian direkodkan hari ini dan jumlah kes kematian ekoran Covid-19 kekal kepada 115 kes.

Kuala Lumpur mencatatkan kes tertinggi hari ini dengan 13 kes, Selangor 5 kes dengan 2 kes import, Negeri Sembilan 4 kes dengan satu kes import serta Melaka dua kes dan Johor satu kes positif Covid-19.

Juga diberitahu sebanyak 95 kes pulih dan telah discaj menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 adalah sebanyak 6,330 kes.

Jumlah itu merangkumi 81.6 peratus daripada jumlah
keseluruhan kes. – MalaysiaGazette