Antara sektor yang mungkin dibuka semula mungkin sukan dan pendidikan, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.-Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Sekiranya kes baharu melibatkan rakyat tempatan menurun pada pengakhiran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bercadang untuk memberi kelonggaran kepada beberapa sektor sosial untuk dibuka semula.

Antaranya sektor sukan dan pendidikan, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Cadangan itu bagi mengambil kira kepatuhan masyarakat negara ini kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah diperkenalkan oleh KKM sejak PKPB dilaksanakan pada 4 Mei lalu.

“Kita harap pasca seminggu Hari Raya, hari ini hanya ada 10 rakyat Malaysia yang positif, ia petanda positif dan harap minggu berikutnya, kita nak lihat satu atau dua digit.

“Jika itu berlaku, pada 9 Jun atau sebelum berakhir PKPB ini kita mahu lihat pendekatan keseluruhan atau buka lebih banyak sektor, beri kelonggaran, seperti sektor sosial, sukan dan pendidikan terutamanya kepada Tingkatan 5 dan 6 kerana mereka akan hadapi peperiksaan.

“Jadi kita sedang pantau hari dari hari dan berharap dengan trend positif ini boleh berterusan,” katanya pada sidang media hari ini.

Menurut Noor Hisham lagi, kelonggaran itu mengambil kira kepada faktor yang terikat kepada beberapa sektor umpamanya pendidikan yang memerlukan pelajar peringkat menengah tinggi untuk menduduki peperiksaan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sikit Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Kelonggaran yang sama juga berdasarkan kepada 90 peratus kepatuhan rakyat Malaysia kepada SOP oleh KKM.

“Pelaksanaan PKPB, lebih 24 hari, PKPB sejak beberapa minggu lalu, kita ada jumlah kes yang rendah dengan dua digit sahaja dimana penglibatan rakyat Malaysia hanya 22 peratus.

“Disiplin sosial bagi rakyat Malaysia amat tinggi sehingga 90 peratus. Tapi kita lihat fasa pemulihan lebih tinggi daripada kes baharu. Kita harap pasca seminggu Hari Raya, hari ini hanya ada 10 rakyat Malaysia yang positif, ia petanda positif, dan harap minggu berikutnya, kita nak lihat satu atau dua digit,” katanya lagi.

PKPB akan berakhir 9 Jun depan selepas diperkenalkan selama 4 minggu oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ia dilaksanakan secara bersasar mengikut lokaliti dan sektor.

Fokus kini mengikut kluster jangkitan Covid-19 dan fokus kumpulan yang ada kontak dengan kluster berkenaan. – MalaysiaGazette