Kerajaan yang perlu berhadapan dengan krisis politik serta perpecahan masyarakat akibat perbezaan agama dan kaum tidak dapat memberi fokus kepada pembangunan ekonomi.-Gambar hiasan.

APA sahaja yang mengganggu aktiviti manusia pasti akan memberi impak kepada ekonomi.

Begitu juga Covid-19. Sekatan pergerakan memperlahankan aktiviti ekonomi. Jual beli terganggu. Syarikat mengalami kerugian. Orang ramai diancam kehilangan pekerjaan.

South China Morning Post menjangkakan dunia akan mengalami kesukaran ekonomi paling buruk sejak Perang Dunia Kedua akibat Covid-19.

Ini bermakna, situasi ekonomi selepas ini dijangkakan lebih sukar berbanding krisis yang pernah dilalui dunia sejak 1940-an termasuk krisis Kewangan Asia 1997/1998 dan krisis subprima di Amerika Syarikat pada 2008.

Malaysia tidak terkecuali menerima kesan akibat Covid-19 dan ia memberi ancaman kepada ekonomi negara baik secara mikro mahupun makro. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 18 Mac lalu mendatangkan kerisauan kepada ramai pihak.

Mak Cik Kiah pastinya risau kerana pendapatan hariannya sebagai peniaga pisang goreng akan terjejas. Begitu juga pemilik-pemilik syarikat sama ada kecil mahupun besar, semuanya akan terjejas.

Bagi golongan pekerja pula, mereka risau jika tidak dapat gaji sepanjang PKP atau lebih teruk lagi, mereka akan hilang pekerjaan.

Secara makronya, PKP dan wabak Covid-19 akan banyak memberi kesan kepada sektor perkhidmatan negara, khususnya industri pelancongan. Bayangkan, terdapat kira-kira 3.5 juta pekerja yang bekerja dalam bidang berkaitan dengan pelancongan.

Dengan keadaan sekarang, pastilah mereka berada dalam situasi yang sukar dan meresahkan. Demi meredakan kegusaran orang ramai, sudah ada tiga pakej rangsangan ekonomi telah diumumkan kerajaan yang dijenamakan sebagai Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat.

Pakej pertama dan kedua tidak meletakkan sasaran khusus dan bersifat umum, bertujuan untuk merancakkan semula ekonomi domestik.

Pakej ketiga yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 6 April lalu pula adalah khusus untuk menyokong sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) agar perniagaan dapat terus dijalankan setelah menerima impak besar akibat pelaksanaan PKP yang kini memasuki fasa ketiga.

Ketiga-tiga pakej ini bernilai RM260 bilion. Namun, ini hanyalah penyelesaian jangka pendek.

Memandang lebih jauh ke hadapan, ada sesuatu yang perlu dilakukan supaya ekonomi negara lebih bersedia menyerap kesan krisis bersaiz global seperti ini. Kita sendiri tidak tahu apa lagi masalah yang bakal dihadapi ekonomi dunia kelak.

Seperti kata pepatah, kita perlu sediakan payung sebelum hujan.

Harus diingat, krisis yang sedang kita lalui kini bukanlah sepenuhnya berpunca daripada wabak Covid-19. Kita sudah mula melalui tempoh sukar sejak lebih setahun lalu lagi.

Ia bermula dengan krisis tempatan berkaitan bebanan hutang negara yang terbongkar selepas pertukaran kerajaan pada Mei 2018.

Masalah krisis ekonomi kemudiannya semakin membarah kesan daripada perang dagang yang berlaku antara dua kuasa besar ekonomi dunia, China dan Amerika Syarikat.

Akibat perang dagang, jumlah perdagangan Malaysia menurun sebanyak 2.5 peratus pada tahun lalu berbanding tahun 2018. Begitu juga dengan jumlah import dan eksport negara yang kedua-duanya mencatatkan penurunan.

Ini bermakna, kegawatan ekonomi yang kita lalui sekarang ini bukanlah luka baru. Ia luka lama yang semakin parah kerana luka asalnya belum sempat dirawat.

Keadaan ini diburukkan lagi dengan struktur ekonomi Malaysia yang kurang stabil. Ini berpunca daripada kebergantungan pendapatan negara kepada komoditi yang terdedah kepada ketidakstabilan harga.

Pada 2019, 30.9 peratus pendapatan kita datang daripada hasil petroleum. Belanjawan 2020 dirangka dengan jangkaan harga minyak berada pada kadar US$62 setong. Kini, harga minyak jatuh teruk ke paras sekitar US$30 setong.

Akibatnya, kerajaan bakal kehilangan berpuluh billion pendapatan hanya kerana kejatuhan harga minyak. Situasi sekarang adalah sangat getir kepada ekonomi Malaysia.

Bloomberg menyifatkan Malaysia kini sedang berhadapan dengan ‘triple whammy’ yang memberi kesan kepada ekonomi negara, iaitu kejatuhan harga minyak, penularan Covid-19 dan krisis politik.

Kita pastinya tidak mahu perkara sama berulang jika satu lagi krisis tahap global melanda suatu masa nanti. Oleh itu, kita perlu menyediakan struktur ekonomi yang kalis krisis pada masa hadapan.

Pelbagai perubahan kepada ekonomi secara struktural harus berlaku, antara lain dengan merombak struktur hasil negara yang kini agak rapuh. Kebergantungan yang terlalu tinggi kepada hasil petroleum serta komoditi perlu dihentikan. Bagaimana caranya?

Ekonomi Kalis Krisis bermula dengan memastikan ekonomi negara tidak tertumpu kepada produk dan komoditi tertentu. Sebaliknya kerajaan perlu memastikan kepelbagaian sumber yang lebih meluas.

Langkah struktural kedua adalah dengan melihat kembali struktur percukaian negara. Dalam bahasa yang mudah, kita mengutamakan percukaian yang progresif. Ini bermakna kita mencukai orang kaya lebih daripada orang miskin.

Cukai keuntungan modal dan cukai warisan adalah antara contoh cukai progresif yang popular. Namun, pelaksanaannya perlu dirancang dengan berhati-hati supaya ia tidak pula menyebabkan pelabur lari ke negara lain.

Cukai kepenggunaan seperti cukai barang dan perkhidmatan (GST) juga boleh dikira sebagai cukai yang progresif kerana kerajaan akan terus mendapat hasil selagi rakyatnya berbelanja.

Isu terkait GST sebelum ini tertumpu kepada masalah kepercayaan rakyat terhadap penggunaan hasil GST dan persepsi bahawa peratusan yang dikenakan iaitu 6 peratus adalah tinggi.

Selain reformasi percukaian, pengurusan perbelanjaan juga wajar disemak bagi memastikan setiap perbelanjaan kerajaan memberi impak yang positif kepada rantaian bekalan dan ekonomi rakyat.

Mudahnya, setiap sen yang kerajaan belanjakan perlu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Seterusnya, kita perlu belajar daripada sejarah. Malaysia masyhur dengan kejayaannya menghadapi krisis kewangan Asia pada 1997/1998.

Salah satu rahsianya adalah kewujudan fundamental ekonomi yang kukuh pada ketika itu.

Terdapat dua faktor yang mewujudkan fundamental ekonomi yang kukuh bagi sesebuah negara, iaitu faktor ekonomi dan faktor bukan ekonomi.

Faktor ekonomi merangkumi sistem percukaian yang efisien, kegiatan industri yang bertahap tinggi dan perdagangan global yang mampan. Tidak ramai yang perasan, pada dua dekad lalu, industri pembuatan di Malaysia berada pada tahap yang tinggi berbanding negara-negara Asia yang lain.

Pada tahun 1999 contohnya, sebanyak 52 peratus nilai ditambah dalam industri pembuatan disumbangkan oleh subsektor yang berintensif teknologi tinggi. Kita agak terkehadapan pada waktu itu hasil kemajuan industri seperti pembuatan kereta yang dipelopori Proton.

Namun, apabila teknologi semakin canggih dan industri berevolusi, kita semakin ketinggalan. Sejak 2008 sehingga 2015, sumbangan subsektor yang berintensif teknologi tinggi berkurangan sehingga 39 peratus.

Ini bermakna industri pembuatan kita kembali didominasi subsector berintensif teknologi rendah. Faktor bukan ekonomi pula melibatkan kestabilan politik dan masyarakat yang bersatu padu.

Faktor ini penting bagi mengurangkan gangguan kepada usaha membangunkan ekonomi.

Kerajaan yang perlu berhadapan dengan krisis politik serta perpecahan masyarakat akibat perbezaan agama dan kaum tidak dapat memberi fokus kepada pembangunan ekonomi.

Dalam hal ini, yang paling penting adalah memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia. Kita perlu benar-benar berusaha untuk bergerak ke arah masyarakat majmuk yang damai dan makmur.

Tidak mustahil untuk kita membentuk sebuah ekonomi yang kalis krisis. Dalam tempoh lebih 20 tahun ini, Malaysia telah berjaya mengharungi pelbagai krisis dengan baik. Namun, cabaran masa hadapan mungkin lebih getir untuk dihadapi.

Kita perlu sediakan payung sebelum hujan.

Ekonomi Kalis Krisis bermaksud ekonomi yang mampu mengekalkan kegiatan ekonomi dan perniagaan dalam waktu yang mencabar. Ini supaya kegiatan ekonomi dan perniagaan dapat terus berjalan serta permintaan dan bekalan berterusan, memastikan pekerjaan kekal dan transaksi kewangan dapat terus berjalan walaupun pada tahap minimum.

Gagal mengekalkan ekonomi pada tahap minimum akan menyebabkan kemelesetan atau keruntuhan ekonomi yang bakal mengambil masa yang sangat panjang untuk diperbetulkan.

Kunci untuk membentuk ekonomi yang kalis krisis tidak hanya ada pada ahli politik atau ahli ekonomi. Kita semua ada kuncinya. Rakyat Malaysia perlu sepakat dan bersatu padu.

Semoga kita dapat segera keluar dari krisis yang membelenggu hari ini dan bersedia pula untuk berhadapan dengan krisis yang seterusnya.

Semoga Malaysia terus bersatu, makmur dan bermaruah dalam menghadapi cabaran-cabaran yang mendatang.- MalaysiaGazette

* Mohd Nizam Mahshar merupakan seorang pemikir ekonomi, aktivis masyarakat, dan penulis yang berpengalaman luas dalam bidang kepimpinan.

Beliau pernah mengetuai beberapa organisasi ternama antaranya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) dan Setiausaha Agung Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM).

Beliau merupakan lulusan  Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Geofizik) dari Universiti Sains Malaysia dan kini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Masa Depan Malaysia.