Pekerja kontraktor melakukan kerja-kerja bagi menghalang tanah gelongsor berikutan tanah runtuh melibatkan 7 buah rumah di Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 30 MEI 2020

AMPANG – Penduduk di Taman Bukit Mulia dan Bukit Antarabangsa kini bimbang kejadian tanah runtuh di belakang tujuh buah rumah Taman Kelab Ukay awal pagi tadi akan berulang di kawasan mereka.

Penduduk mendakwa tebing sungai di tepi kaki bukit kawasan tanah runtuh itu hanya ditutup dengan kanvas sebagai alternatif selepas tembok itu pecah akibat hakisan pada November tahun lalu.

Ia mengakibatkan pergerakan tanah secara agresif berlaku terutama selepas hujan lebat dan disusuli insiden pokok tumbang yang acapkali berlaku.

Lebih-lebih lagi apabila kejadian awal pagi tadi menyebabkan kegelongsoran tanah berimpak tinggi berlaku diikuti pokok-pokok tumbang sehingga mengakibatkan anak Sungai Sering di kawasan itu tertimbus dengan tanah.

Tinjauan MalaysiaGazette petang tadi di hadapan Jalan Mulia 1/1, mendapati kren diupah untuk membersihkan pokok-pokok yang tumbang selain cerucuk besi yang kebiasaannya digunakan untuk menahan tanah terowong atau cerun bukit ditanam di cerun kawasan tanah runtuh bagi menahan pergerakan tanah berlaku lagi.

Seorang penduduk Taman Mulia, Fadli Mohamed, 39, berkata, pemendapan dan runtuhan tanah yang berlaku akibat tanah runtuh akan memudahkan lagi berlaku gelongsoran tanah agak di kaki bukit hadapan perumahannya.

Penduduk, Fadhli Mohamed bercakap kepada media mengenai keadaan tanah runtuh yang melibatkan 7 buah rumah di Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 30 MEI 2020.

“Disebabkan runtuhan tanah inilah menyebabkan tanah di atas bukit belakang tujuh buah rumah itu runtuh, ini yang ramai tidak faham.

“Pihak berkuasa peru menyegerakan pembaikan dan pembinaan tembok penahan cerun bukit yang baharu tanpa membuang masa lagi kerana kami penduduk di bawah sini dalam bahaya terutamanya banjir,” katanya.

Cerun bukit itu terletak hanya 50 meter dari deretan perumahan Jalan Mulia 1 sekaligus mencetuskan kebimbangan penduduk di lorong hadapan itu selepas kenderaan jenis BMW milik penduduk itu rosak teruk akibat pokok tumbang.

Menurutnya, selama ini bahagian tembok cerun kaki bukit yang pecah hanya ditutup dengan kain kanvas dan beliau mula mendengar bunyi pergerakan tanah dan pokok tumbang di kaki cerun itu.

Pekerja kontraktor melakukan kerja-kerja bagi menghalang tanah gelongsor berikutan tanah runtuh melibatkan 7 buah rumah di Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 30 MEI 2020.

“Sebenarnya masalah ini sudah berlarutan sejak tahun lalu lagi yang mana apabila berlaku pergerakan tanah dalam skala kecil dan pokok tumbang saya sentiasa memaklumkan kepada pihak berkuasa iaitu JKR (Jabatan Kerja Raya) dan MPAJ (Majlis Perbandaran Ampang Jaya) untuk tindakan sewajarnya menerusi aduan demi aduan secara bertulis sejak setahun lalu.

“Dua minggu lalu semasa hujan lebat dua minggu lalu dan dua hari lepas, berlaku gelongsoran tanah bertahap tinggi di bahagian yang ditutupi dengan kanvas dan pagi tadi tanah runtuh berlaku lagi.

“Apa yang menyedihkan menteri dan pihak bertanggungjawab hanya meninjau dari atas kawasan terjejas di belakang tujuh buah rumah di Taman Kelab Ukay tetapi tidak datang melihat situasi dan bahaya di kaki bukit hadapan rumah kami bawah sini sini yang kami sedang hadapi.

“Kami risau kalau hujan lebat malam ini akan memastikan banjir berlaku di mana berisiko air sungai berisiko melimpah masuk ke atas jalan dan rumah kami di Jalan Mulia 1/1 di sini,” ujarnya.

Sebelum itu, Fadli sudah membuat aduan dalam kumpulan WhatsApp komuniti Bukit Antarabangsa sebelum dirujuk kepada JKR dan MPAJ.

“Saya dimaklumkan tawaran tender selesai dan kontraktor sudah dilantik untuk memulakan kerja pembaikan tembok itu bagaimanapun PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dikatakan menangguhkan proses itu.

“Namun ini sudah tiga bulan kini keadaan bertambah serius apabila berlaku pergerakan tanah di celah akar pokok berlaku secara agresif sehingga berlaku insiden runtuhan tanah di belakang tujuh buah rumah di atas bukit.

“Malam ini kalau hujan lagi barisan rumah kami di Jalan Mulia 1/1 ini pasti akan banjir  malah tanah di cerun itu akan bergerak dan runtuh lagi.

“Saya minta MPAJ khususnya Unit Cerun sila pantau lokasi kaki bukit tebing sungai depan rumah kami ini segera dan menyegerakan kerja pembaikan semula mengelak keadaan bertambah kritikal lagi,” ujar beliau.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tanah runtuh Bukit Antarabangsa, 40 penghuni diarah kosongkan rumah