Gambar hiasan

SEJAK wabak Covid-19 menyerang negara kita para petugas barisan hadapan terutamanya anggota pasukan perubatan telah menzahirkan komitmen yang cukup tinggi dalam membantu mengekang penularan wabak ini.

Mereka bertungkus lumus kerja siang dan malam agar dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik dengan melaksanakan proses saringan serta rawatan yang efisien. Anggota keselamatan pula bekerja keras termasuk meredah hujan dan panas untuk mengawal pergerakan anggota masyarakat agar rantaian penularan wabak dapat dikawal dan dihentikan.

Dr. Fadhli Suhaimi sedang memberikan rawatan kepada pesakit Covid-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 MEI 2020.

Hakikatnya sekarang virus ini akan berada bersama dengan kita untuk suatu tempoh masa yang lebih lama, di samping belum ada sebarang berita kejayaan bila vaksin akan ditemukan. Ini menunjukkan perjuangan untuk memerangi wabak ini akan memakan masa yang lebih lama dan ianya memerlukan komitmen dan kerjasama semua pihak tanpa bergantung harap kepada petugas barisan hadapan semata-mata.

Tambahan pula dalam situasi seperti ini, kita percaya kerajaan terpaksa membenarkan lebih banyak lagi sektor ekonomi, sosial dan pendidikan terutamanya sekolah untuk dibuka dan beroperasi semula tidak lama lagi. Hal ini kerana kita tidak boleh menunggu sehingga wabak ini berkahir sepenuhnya kerana tiada jaminan bila ianya boleh berakhir.

Justeru anggota masyarakat perlu bersedia untuk meneruskan kehidupan dalam norma baharu demi kelangsungan survival kehidupan masing-masing.

Dalam konteks ini timbul persoalan apakah beban mengawal dan mengekang penularan wabak ini masih diletakkan di bahu para petugas barisan hadapan semata-mata? Apa pula sumbangan dan peranan kita dalam soal menjaga dan melindungi kesihatan serta keselamatan diri dan keluarga sendiri? Penulis percaya sudah tiba masanya untuk kita menzahirkan dengan sungguh-sungguh laungan keramat slogan #KitaJagaKita.

Dalam erti kata lain kita perlu bersedia ambil alih sebahagian dari tugas para petugas barisan hadapan dengan ambil langkah-langkah sewajarnya bagi melindungi diri dan keluarga kita daripada jangkitan wabak ini.

Percayalah walau hebat mana sekalipun inisiatif dan usaha pasukan barisan hadapan, namun jika masyakat tidak bekerjasama dan mematuhi segala standard prosedur operasi (SOP) yang telah ditetapkan, wabak ini akan terus tular dan bila-bila masa saja bilangan kes dalam kalangan warganegara akan meningkat kembali.

Misalnya kita dapat melihat pelbagai karenah anggota masyarakat sejurus selepas pihak kerajaan membenarkan lebih banyak sektor ekonomi beroperasi semula. Sedar atau tidak ramai yang mula mengambil kesempatan dengan kelonggaran yang diberikan ini. Pasaraya mula dibanjiri pembeli yang tidak berdisiplin dan mementingkan diri, ini menyebabkan arahan penjarakan sosial serta nasihat untuk elak bersentuhan sukar dilaksanakan oleh pemilik perniagaan.

Malah apabila kenderaan persendirian boleh membawa muatan ikut kapasiti, ramai juga yang sudah berani membawa bayi, kanak-kanak serta warga emas ke tempat-tempat kunjungan orang ramai dan sesak. Apakah kita lupa golongan ini adalah antara kelompok yang berisiko tinggi untuk dijangkiti wabak berbahaya tersebut. Mana hilangnya semangat #KitaJagaKita yang sering kita laungkan itu?

Orang ramai kelihatan melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan berkumpul bersama rakan-rakan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) susulan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Jalan Ampang, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 26 MEI 2020.

Lebih merisaukan semua pihak sekarang ialah apabila sekolah dibuka semula nanti di mana masing-masing bimbang jika kita gagal mengawal keadaan ianya boleh mencetuskan kluster jangkitan sekolah. Jadi sekali lagi ianya menuntut komitmen dan kerjasama para ibu bapa yang tidak boleh meletakkan segala beban kepada guru dan sekolah semata-mata.

Janganlah letak tanggungjawab menjaga kesihatan dan keselamatan anak-anak dibahu guru dan sekolah sepenuhnya. Sebaliknya, ibu bapa perlu turut memainkan peranan untuk sekurang-kurangnya melindungi anak masing-masing terutamanya dari segi mendidik untuk menjaga kesihatan dan kebersihan diri ketika berada di sekolah.

Jika semua dapat bertindak seperti itu, akhirnya anak-anak akan lebih selamat dan melindungi diri mereka sendiri, ini sekali gus akan memudahkan urusan guru yang boleh memberi fokus kepada aspek pengajaran dan pembelajaran.

Jadi sudah sampai masanya untuk anggota masyarakat memainkan peranan yang lebih besar dan serius dalam membantu mengekang penularan wabak ini di negara kita. Sampai bila kita mahu meletakkan tanggungjawab tersebut sepenuhnya di bahu barisan petugas hadapan semata-mata sehingga kita boleh lepas tangan dan bergoyang kaki seolah-olah kita tidak perlu berbuat apa-apa.

Tuntasnya, walaupun sudah ada banyak kelonggaran, kita perlu tetap mengamalkan tahap disiplin yang tinggi sama seperti ketika tempoh PKP yang lepas dan dalam kebiasaan baharu ini, perubahan sikap dan tingkah laku yang lebih positif seperti berkongsi tanggungjawab, prihatin serta mematuhi SOP dan peraturan bukan lagi satu pilihan.- MalaysiaGazette

Noor Mohamad Shakil Hameed, Timbalan Pengarah, Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia.