Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad (tengah) bercakap pada sidang media khas diiringi Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (kanan) dan Ketua ARMADA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (kiri) di Ibu Pejabat PPBM, Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya. foto FAREEZ FADZIL, 29 MEI 2020

KUALA LUMPUR- Bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama empat lagi ahli yang lain tidak perlu dirujuk ke Lembaga Disiplin Parti dan tidak akan diambil tindakan.

Keempat-empat ahli tersebut adalah bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Datuk Amiruddin Hamzah dan bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.

Berdasarkan sepucuk surat bertarikh 27 Mei 2020 daripada Pengerusi Lembaga Bersatu, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas kepada Setiausaha Agung parti berkenaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, kelima-lima penama berkenaan bukan lagi ahli parti menurut perlembagaan.

“Berkenaan aduan-aduan yang dikemukakan kepada saya berhubung penama-penama di atas, sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin parti, saya berpendapat bahawa kes-kes penama tersebut tidak perlu dirujuk untuk tindakan Lembaga Disiplin parti.

“Pandangan saya, penama-penama berkenaan bukan lagi ahli Bersatu menurut 10.2.2 dan 10.2.3 Perlembagaan Bersatu terpakai untuk tindakan Setiausaha Agung Bersatu,” tulisnya.

Semalam, Mahathir menegaskan, beliau masih lagi Pengerusi Bersatu dan pemecatannya dari parti itu tidak sah.

Beliau berkata, pengumuman mengenai penggugurannya daripada parti tersebut sebagaimana yang dimaklumkan oleh Setiausaha Kerja Bersatu, Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya semalam tidak mengikut perlembagaan parti kerana beliau (Muhammad Suhaimi) telah dipecat lebih awal.-MalaysiaGazette