KUALA LUMPUR – Media memainkan peranan penting  terhadap perubahan pandangan dan sikap masyarakat ke arah yang lebih baik dalam pelbagai isu dan sudah ia melibatkan sumbangan daripada wartawan.

Begitulah kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Beliau terhutang besar kepada golongan wartawan dengan sumbangan, peranan serta komitmen besar terhadap perubahan pandangan dan sikap masyarakat ke arah yang lebih baik dalam pelbagai isu.

“Saya ingin mengambil kesempatan pada Hari Wartawan Nasional 2020 ini untuk merakamkan ucapan terima kasih, tahniah dan penghargaan kepada semua wartawan di luar sana yang sebenarnya banyak menabur jasa dalam memberikan yang terbaik kepada masyarakat kita.

“Saya amat percaya dalam menjalankan peranan serta kerjaya berpengaruh ini, para wartawan menjunjung tinggi nilai kebenaran dan etika kewartawanan serta sentiasa memelihara keharmonian malah perpaduan masyarakat berbilang kaum, budaya dan agama di negara ini.

“Ini sangat bertepatan dengan pesanan Nabi SAW yang memperingatkan umatnya supaya berhati-hati di dalam menyampaikan sesuatu berita.

“Semoga pesanan ini menjadi pedoman buat para wartawan dan kita semua,” kata wakil rakyat Pas itu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus menghormati wartawan yang begitu komited dalam menyampaikan maklumat sahih kepada umum.

“Tugasan untuk menyampaikan yang sebetulnya kepada masyarakat untuk tujuan baik itu sebenarnya amat dihargai. Segala hebahan, makluman serta berita itu amat penting dan ianya telah disampaikan dengan baik sekali kepada masyarakat.

“Sekali lagi, terima kasih kepada anda-anda semua,” ujarnya.

Pada tahun 2018, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib  Razak telah mengumumkan Hari Wartawan Nasional akan disambut pada 29 Mei setiap tahun.

Tarikh 29 Mei dipilih sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939. –MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.