Abdul Rani Kulup. foto HAZROL ZAINAL, 19 MEI 2020.

KUALA LUMPUR – Pemandu mabuk yang disabitkan bersalah menyebabkan kecederaan atau kematian kepada orang lain  perlu dipenjarakan selama 50 tahun.

Presiden Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah yang mahukan hukuman lebih berat dikenakan itu menggesa agar pesalah membayar ganti rugi RM500,000 sehingga RM1 juta kepada mangsa dan waris.

Jelas beliau, isu kemalangan pemandu mabuk sehingga melibatkan individu lain tidak bersalah perlu dipandang serius dan memerlukan hukuman berat bagi memberikan kesedaran kepada seluruh rakyat.

“Asal mabuk langgar orang, asal langgar orang pemandu mabuk. Saya cadangkan kepada pemandu mabuk ini jangan jamin mereka kalau tangkap.

“Kalau langgar orang tidak mati atau melibatkan kecederaan seumur hidup pemandu itu gantung lesennya, kalau sabit kesalahan dengan bukti kukuh hendaklah dipenjara 50 tahun, denda RM500,000 bagi kepada mangsa dan sebatan. Kalau mangsa mati, hukum gantung mandatori, denda RM 1 juta bagi kepada waris mangsa dan keluarga yang melanggar perlu menyara seumur hidup waris mangsa,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, beliau menyambut baik kenyataan terbaru Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dipinda, agar hukuman lebih berat dikenakan terhadap individu yang disabitkan dengan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

Menyatakan sokongan, MJMM mewakili beberapa NGO gabungan hari ini membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.

Ini susulan berlaku beberapa kes langgar melibatkan pemandu mabuk yang dilihat berlaku baru-baru ini.

Dalam masa yang sama Rani Kulop turut menyokong keputusan kerajaan untuk menghantar pulang pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara asal.

Katanya, ianya seiring dengan usaha untuk menjaga keselamatan dan keamanan rakyat yang juga resah dengan lambakan warga asing. – MalaysiaGazette