Gambar hiasan

ANALISIS Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati jumlah kes kematian disebabkan Covid-19 kepada individu yang merokok lebih tinggi berbanding bukan perokok iaitu 17.6 peratus berbanding 12.1 peratus. Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, tabiat merokok yang sudah terbukti mengakibatkan pelbagai jenis penyakit serta boleh melemahkan sistem imuniti manusia didapati meningkatkan risiko terhadap jangkitan bakteria dan virus terutama ketika wabak Covid-19. Malah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melalui kenyataan pada 27 Mei lalu dan beberapa kajian di luar negara juga mendapati perokok adalah berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi yang lebih teruk jika dijangkiti virus Covid-19.

Ironinya kesan rokok kepada kesihatan sudah diketahui umum dan sering diperdebatkan secara meluas selama ini namun boleh dikatakan perokok tegar masih terus degil meneruskan tabiat negatif ini di samping mempengaruhi perokok baharu untuk terjebak dalam gejala kurang sihat ini. Justeru kita berharap golongan perokok tidak terus memberikan pelbagai alasan sebaliknya mengambil peluang ketika ancaman dan serangan wabak Covid-19 ini untuk bermuhasabah seterusnya berhenti merokok. Perkara ini penting kerana hanya kesedaran diri dan perubahan sikap dalam kalangan perokok itu sendiri yang mampu mengubah kedaaan.

Jelas sekali ancaman kesihatan kepada perokok ketika wabak ini lebih tinggi dan memudaratkan. Misalnya mengikut data KKM, analisis awal berkaitan sejarah merokok dan faktor risiko penyakit tidak berjangkit yang dijalankan terhadap 86 daripada jumlah pesakit Covid-19 yang sudah meninggal dunia di Malaysia, didapati 19.8 peratus atau iaitu 17 orang adalah terdiri daripada perokok. Jadi perokok kini berhadapan dengan satu lagi “musuh” baharu yang boleh mengancam nyawa. Jadi apakah para perokok masih tidak mahu ambil iktibar betapa mereka antara golongan yang cukup terancam dan berisiko tinggi?

Di samping itu, kesedaran kita untuk berhenti merokok ketika ancaman wabak ini bukan saja boleh melindungi kesihatan diri, sebaliknya boleh turut berupaya mengurangkan risiko terhadap perokok pasif iaitu orang yang terdedah dengan asap rokok. Jangan lupa fakta bahawa, apabila perokok aktif merokok, asap akan terhasil dari puntung rokok dan dilepaskan ke udara. Asap ini boleh berada di udara untuk tempoh dua jam atau lebih walaupun tingkap rumah atau kereta dibuka. Lebih membimbangkan lagi, walaupun kita tidak melihat atau menghidu asap rokok, tidak semestinya ia tiada lagi di kawasan itu. Bayangkan senario ini boleh terjadi di rumah, tempat kerja, kawasan awam, dan juga di dalam kereta, sekali gus mendedahkan semua orang yang berada di keliling kita kepada pelbagai risiko penyakit termasuk kanser. Apakah kita mahu menjadi punca ahli keluarga sendiri serta anggota masyarakat lain yang tidak berdosa turut menjadi mangsa keadaan
akibat tindakan kita yang terlalu mementingkan diri.

Satu lagi perkara penting yang perlu diberi perhatian oleh para perokok ialah ancaman wabak ini turut memberi kesan langsung kepada sektor ekonomi dan pekerjaan. Umum mengetahui perkembangan ekonomi sangat terbantut dan sedang berhadapan dengan ancaman kemelesatan ekonomi global. Ini telah menyebabkan kedudukan kewangan dan ekonomi rakyat turut terjejas teruk. Malah ramai juga yang hilang pekerjaan. Maka dalam situasi yang genting umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, apakah kita mahu membazir duit untuk membeli rokok? Bukankah lebih bijak jika kita ambil peluang ini untuk berhenti merokok sekali gus menjimatkan perbelanjaan harian dan bulanan isi rumah. Sepatutnya sekarang kita perlu berbelanja dengan lebih berhemat serta berjimat cermat demi kelangsungan survival kehidupan diri dan keluarga masing-masing.

Tuntasnya, tabiat merokok hanya mendatangkan pelbagai kesan negatif kepada diri, keluarga dan masyarakat sekeliling dan serangan wabak Covid-19 ini memburukkan lagi keadaan dan menambahkan ancaman kepada nyawa perokok. Jadi para perokok perlu berfikir dan bertindak dengan bijak, matang dan rasional demi kepentingan semua pihak. Anggaplah tindakan kita berhenti merokok pada ketika ini sebagai hikmah di sebalik serangan wabak ini. Ayuh, hentikanlah tabiat merokok! Kalau bukan sekarang bila lagi?

Oleh: Noor Mohamad Shakil Hameed,  Timbalan Pengarah, Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi,
Universiti Putra Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast