Reezal Merican Naina Merican
Reezal Merican Naina Merican

KUALA LUMPUR – Majlis Sukan Negara (MSN) telah mendapat kelulusan kelonggaran khas daripada Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Covid-19 untuk sesi latihan atlet elit selama sebulan mulai hari ini hingga 30 Jun ini.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengesahkan perkara itu selepas mengadakan lawatan pemantauan hari pertama pendaftaran masuk atlet dan pegawai ke Kem Latihan Berpusat Program Road To Tokyo (RTT).

Dalam kenyataan petang ini, beliau berkata, Kem Latihan Berpusat di Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara, Kuala Lumpur dan Pusat Latihan Perahu Layar di Langkawi, Kedah akan bermula hari ini manakala untuk Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil ia hanya akan bermula pada 8 Jun ini.

“Ini kerana mereka diberikan sedikit ruang dan masa tambahan untuk proses sanitasi dan persiapan asrama dapat dibuat dengan lebih teratur dan komprehensif ekoran penyerahan balik asrama di Casa 1 baru-baru ini.

“Lawatan kerja saya ke Akademi Badminton Malaysia (ABM) d Bukit Kiara adalah untuk melihat dan memantau sendiri perjalanan perdaftaran dan proses kemasukan pegawai, atlet dan jurulatih ke lokasi latihan berpusat tersebut.

“Semua proses pendaftaran telahpun berjalan dengan lancar seperti dirancang tanpa sebarang kesulitan,” katanya.

Tambah Ahli Parlimen Kepala Batas itu lagi, aspek keselamatan dan kesihatan atlet dan semua yang terlibat dalam kem latihan berpusat tersebut serta pematuhan ketat kepada garis panduan standard (SOP) telah memberi keyakinan kepada KBS, Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara ketika kelulusan untuk kelonggaran khas diberikan oleh pihak kerajaan.

Justeru kata beliau, jumlah atlet yang telah melaporkan diri pada hari ini di Akademi Badminton di Bukit Kiara termasuklah jurulatih, pegawai dan sokongan seramai 38 orang (termasuk 8 atlet olimpik, 1 atlet paralimpik dan 9 sparring partner).

Menurut Reezal Merican, jumlah orang yang telah melaporkan diri ke Pusat Latihan Perahu Layar di Langkawi, Kedah adalah seramai 24 orang termasuk empat atlet dan empat sparring partner.

“Semua yang terlibat dengan Kem Latihan Berpusat ini akan menjalani beberapa proses saringan sebaik melapor diri.

“Kesemua atlet elit dan pegawai akan menjalani ujian swab pada hari pertama pendaftaran, kuarantin diri di bilik asrama dari hari pertama sehingga keputusan ujian diperoleh pada hari kedua atau ketiga selepas ujian dan menjalani ujian swab pada hari kelima (Pre Symptom) dan ujian swab hari ke-13 (Non Symptom),” tegasnya.-MalaysiaGazette