GEORGE TOWN – Seramai 20 individu termasuk 14 pelajar sekolah menengah, bukan sahaja melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), malah berpesta dadah dalam sambutan hari jadi, di dua unit apartment yang mereka sewa, malam semalam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Soffian Santong berkata, bertindak atas maklumat awam dan risikan, pihaknya membuat pemeriksaan di dua unit apartment yang dijadikan inap desa itu pada 10.30 malam dan menahan 15 lelaki serta lima wanita berusia 13 hingga 20 tahun.
“Hasil pemeriksaan 10 lelaki dan empat perempuan adalah remaja bawah umur berusia 13 hingga 17 tahun, serta masih bersekolah. Semua mereka yang ditahan itu berasal sekitar Timur Laut, Bukit Mertajam, dan Bayan Lepas,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Menurutnya, mereka mendakwa menyewa apartment itu untuk sambutan hari jadi, dan pemeriksaan lanjut polis menemukan dadah ketamin 1.48 gram bernilai RM220, selain ujian air kencing mendapati enam daripada mereka positif dadah.
Beliau berkata, kesemua mereka dikenakan kompaun RM1,000 setiap seorang kerana mengingkari PKPB dan direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.
Dalam perkembangan lain, Soffian berkata, 16 individu termasuk dua wanita berusia 20 hingga 40 tahun ditahan dan masing-masing dikenakan kompaun RM1,000 kerana melepak sambil minum minuman keras, dalam restoran di sebuah pusat membeli belah di Persiaran Gurney di sini, pada 10.45 malam semalam.
Beliau berkata, kesemua mereka berada di meja makan restoran tersebut, walaupun premis itu telah ditutup pada 10 malam seperti yang disyaratkan kerajaan, sepanjang tempoh PKPB.
Katanya, pengawal keselamatan pusat membeli belah tersebut beberapa kali menegur dan mengarahkan mereka untuk beredar, namun ia tidak diendahkan, sebelum bertindak menghubungi polis. – Bernama