Angah Husin

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang patah tangan akibat kemalangan kecewa kerana gagal memohon kebenaran merentas negeri dengan alasan mahu berubat secara alternatif.

Menurut Angah Husin Jailani, 40, dari Jempol, Negeri Sembilan mendakwa mengemukakan permohonan di Balai Sungai Lui, kelmarin tetapi alasan itu ditolak.

Katanya, mahu berubat secara alternatif di Segamat, Johor tetapi tidak dibenarkan.

“Saya tunjuk keadaan tangan saya yang patah serta bukti perubatan tetapi menurut polis perubatan alternatif tiada dalam senarai kebenaran merentas negeri.

“Sedangkan lori menghantar makanan pun dibenarkan bebas merentas negeri. Saya bukan hendak pergi melancong makan angin. Saya mohon kebijaksanaan dan budi bicara pihak berkuasa mengenainya.

“Setahu saya arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kecuali yang ada sebab munasabah, sekarang PKP sudah habis tetapi kenapa sekatan masih berjalan?” soalnya.

Beliau yang bekerja sebagai pengusaha ladang kelapa sawit meminta kerajaan mempertimbangkan perubatan alternatif dibenarkan untuk merentas negeri.

“Kasihanilah rakyat yang sedang mencari ikhtiar untuk memulihkan diri dengan apa cara sekalipun. Saya memilih perubatan alternatif di Segamat kerana keluarga saya yang pernah patah tangan berjaya dipulihkan menggunakan kaedah itu.

“Mengikut pengalaman saya kaedah perubatan moden tidak berupaya memperbetulkan anggota badan patah dengan cepat dan sepenuhnya,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast