Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Bagi menggalakkan pertumbuhan industri automotif tempatan, kerajaan memberikan pengecualian cukai jualan sebanyak 100 peratus ke atas penjualan kereta penumpang pemasangan tempatan.

Bagi kereta penumpang diimport, pengecualian cukai jualan sebanyak 50 peratus diberikan kepada pembeli.

Inisiatif yang berkuatkuasa mulai 15 Jun 2020 hingga 31 Disember 2020 itu diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika membentangkan Pelan Jana Semula Ekonomi (Penjana).

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan pengecualian duti setem ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi pembelian kediaman bernilai di antara RM300,000 hingga RM2.5 juta.

Pengecualian suratcara pindah milik adalah terhad kepada RM1 juta pertama nilai rumah kediaman tersebut manakala duti setem sepenuhnya diberikan ke atas perjanjian pinjaman.

Pengecualian ini akan berkuatkuasa bagi perjanjian jual beli yang ditandatangani mulai 1 Jun 2020 hingga 31 Mei 2021 tertakluk kepada syarat pemberian diskaun sekurang-kurangnya 10 peratus oleh pemaju.

Pengecualian Cukai Keuntungan Harta Tanah juga turut diberikan kepada warganegara Malaysia mulai 1 Jun 2020 hingga 31 Disember 2021.

Pengeculian tersebut dihadkan bagi pelupusan tiga unit rumah kediaman sahaja bagi setiap individu, jelas Muhyiddin.

Selain itu, had pembiayaan bagi pinjaman rumah ketiga dan seterusnya yang bernilai RM600,000 ke atas tidak lagi tertakluk kepada 70 peratus daripada nilai rumah.

Sebaliknya, ia tertakluk kepada pengurusan risiko dalaman institusi kewangan.-MalaysiaGazette