Gambar Hiasan.

KUALA LUMPUR – Sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDNM) dikesan kembali aktif sejak akhir-akhir ini.

Itu amaran agensi kerajaan itu kepada orang ramai khususnya pembayar cukai pendapatan supaya mengambil langkah lebih berwaspada mengelak menjadi mangsa penipuan sindiket itu.

Bahagian Komunikasi Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif LHDNM berkata antara modus operandi sindiket tersebut adalah mangsa menerima panggilan daripada sindiket yang memaklumkan terdapat tunggakan cukai yang masih belum dijelaskan.

“Mangsa dikehendaki menjelaskan tunggakan cukai dengan membuat pindahan ke akaun bank bukan milik LHDNM.

“Mangsa juga menerima panggilan (sindiket penipuan) memaklumkan bahawa mangsa terlibat dengan aktiviti pelarian cukai dan pengubahan wang haram serta akaun bank milik mangsa akan disekat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

“Mangsa kemudiannya akan disambungkan untuk bercakap dengan ‘pegawai polis’ yang bertanggungjawab terhadap kes mangsa dan bagi mengelakkan semua wang dalam akaun miliknya dibekukan, mangsa diarahkan untuk memindahkan baki akaun ke akaun pihak ketiga,” kata agensi itu dalam kenyataan media hari ini.

Justeru kata agensi itu, segelintir mangsa dihubungi sindiket yang menyamar sebagai pegawai polis memaklumkan bahawa mangsa mempunyai baki cukai tertunggak dan mengarahkan mangsa untuk memuat turun aplikasi palsu dari Bank Negara Malaysia (BNM) atau berkongsi maklumat peribadi perbankan di laman web palsu kononnya milik BNM bagi tujuan siasatan.

Tambah LHDN lagi, menerusi penipuan itu, mangsa menerima panggilan daripada sindiket menyamar sebagai ‘pegawai’ LHDNM menggunakan nombor telefon mirip nombor telefon LHDNM dengan menggunakan teknik ‘spoofing’ dan memaklumkan bahawa mangsa mempunyai baki cukai tertunggak daripada syarikat yang didaftarkan atas nama mangsa.

Menurut LHDN, kemudian mangsa diarahkan ‘pegawai’ sindiket itu untuk menjelaskan tunggakan cukai tersebut dengan membuat bayaran kepada akaun pihak ketiga selain daripada akaun LHDNM.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dengan setiap panggilan, mesej, e-mel mahupun surat yang diterima daripada LHDNM yang meragukan dengan mengambil langkah-langkah yang disarankan kami.

“Pertama semak dengan LHDN melalui panggilan ke Hasil Care Line, Customer Care Officer, Borang Maklum Balas LHDNM atau hadir ke cawangan LHDNM yang berdekatan dan ingat bahawa jangan sesekali mendedahkan butiran diri dan perbankan.

“Malah jangan klik pada pautan yang diterima melalui e-mel yang meragukan; Pastikan bayaran tunggakan cukai dibuat hanya kepada LHDNM jangan muat turun sebarang aplikasi yang diminta oleh pemanggil yang tidak dikenali dan jangan membuat panggilan semula kepada nombor telefon yang tidak dikenali,” ujar agensi tersebut.

Justeru orang ramai diminta menyemak nombor telefon LHDNM di portal rasmi dan menegaskan setiap pegawai LHDNM adalah terikat dengan peruntukan kerahsiaan maklumat percukaian di bawah Seksyen 138 Akta Cukai Pendapatan 1967 di mana setiap maklumat peribadi pembayar cukai tidak akan dihebahkan kepada pihak ketiga sewenang-wenangnya.

Menurutnya,untuk sebarang maklumat lanjut, sila layari portal rasmi LHDNM di www.hasil.gov.my. dan sebarang pertanyaan dan maklum balas berkaitan perkara ini juga boleh diajukan kepada LHDNM talian Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-89111100 (Luar Negara), HASiL Live Chat; borang Maklum Balas di portal rasmi LHDNM di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/; dan media sosial rasmi LHDNM iaitu: Facebook – https://www.facebook.com/LHDNM atau Twitter – https://twitter.com/LHDNMofficial.- MalaysiaGazette