KUALA LUMPUR – Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) hari ini membuka semula khidmat pemfailan dan pendengaran kes dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat.

Menerusi kenyataan Jakess memaklumkan, penjadualan semula prosiding akan dibuat bagi kes yang sudah didaftarkan sebelum ini dengan memastikan penjarakan sosial kekal diamalkan di mahkamah.

Orang ramai juga boleh menyemak status melalui laman web https://bit.ly/3aSJjj7 atau portal E-Syariah http://www.esyariah.gov.my.

“Untuk kes tiada dalam senarai semakan, pelanggan akan dimaklumkan mengenai tarikh penangguhan baharu melalui notis tangguhan secara bertulis atau khidmat pesanan ringkas,” demikian menurut kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi, perkhidmatan membaca wakalah bagi lantikan peguam Syarie dan ikrar afidavit untuk kes diwakili peguam boleh dibuat melalui sidang video.

Bagaimanapun, prosiding perbicaraan dan Majlis Sulh boleh dibuat tetapi atas permohonan dan persetujuan bertulis daripada plaintif atau pemohon serta defendan atau responden bagi kes tersebut.

patanya lagi, Perkhidmatan perundingan cara boleh dibuat secara dalam talian melalui panggilan telefon tanpa perlu hadir ke mahkamah.

Perincian SOP dan garis panduan operasi Jakess sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan boleh dirujuk di laman sesawang www.jakess.gov.my, katanya. – MalaysiaGazette