KUALA LUMPUR- Peraturan hanya individu dari rumah yang sama dibenarkan menaiki satu kenderaan masih dikekalkan setakat ini.
Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tiada perubahan dibuat terhadap peraturan tersebut meskipun terdapat banyak kelonggaran diberikan di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
“Jumlah individu yang dibenarkan menaiki satu kenderaan yang sama adalah bergantung kepada kapasiti penumpang kenderaan berkenaan.
“Tetapi prosedur standard operasi (SOP) mengenai individu dari rumah yang sama sahaja dibenarkan menaiki kenderaan yang sama masih dikekalkan. Tiada perubahan setakat ini,” katanya dalam sidang media hari ini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjangkakan jumlah kenderaan akan bertambah pada Jumaat hingga Ahad ini berikutan orang ramai mahu mengambil kesempatan hujung minggu untuk pulang ke kampung meraikan Syawal yang masih berbaki.
Aliran trafik bagi pergerakan rentas negeri masih lancar pada hari ini dan semalam, katanya.
Tambah beliau, PDRM juga akan menarik balik sekatan jalan raya kecuali yang melibatkan Ops Benteng susulan pelaksanaan PKPP.
Tugas polis bersama pasukan petugas khas yang lain, jelasnya kini lebih menumpukan kepada pematuhan SOP dalam kalangan rakyat di tempat-tempat awam, premis perniagaan termasuk pasar awam dan pasar malam.
Tambahnya, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pula akan terus berada di dalam pasukan petugas khas tersebut bersama agensi-agensi lain seperti Rela, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Pihak Berkuasa Tempatan untuk membantu polis memastikan pematuhan rakyat terhadap SOP PKPP.
“ATM akan terus membantu PDRM. Cuma PDRM ketika ini tidak lagi memberi fokus kepada sekatan jalan raya kecuali di lorong-lorong tikus bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin.
“Saya nasihatkan orang ramai supaya mematuhi SOP yang telah ditetapkan kerana peraturan-peraturan baharu di bawah PKPP telah pun diwartakan.
“Barang siapa yang melanggar SOP berkenaan boleh dikenakan tindakan,” katanya lagi.- MalaysiaGazette