Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Satu akta baharu berkaitan Covid-19 akan dibentangkan di Parlimen pada sidang akan datang.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, akta tersebut adalah untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan Covid-19.

Ini termasuk melindungi pelanggan yang gagal mendapatkan pulangan deposit kerana tidak dapat meneruskan tempahan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan bagi membendung penularan wabak Covid-19.

“Satu akta baharu akan dibentangkan di Parlimen.

“Sekiranya diluluskan, ianya akan menyelesaikan isu-isu berkaitan Covid-19,” katanya semasa sidang media hari ini.

Beliau bagaimana pun tidak memberi sebarang perincian berhubung skop sebenar akta baharu berkenaan.

Dalam pada itu, Ismail Sabri meminta para pelanggan melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat premis perniagaan yang tidak mengikut prosedur standard operasi (SOP).

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, individu yang diwajibkan menjalani kuarantin di rumah akan dipakaikan dengan gelang tangan pengenalan dan tidak dibenarkan ditanggalkan sepanjang tempoh kuarantin.

“Adalah satu kesalahan jika gelang tangan tersebut dipotong.

“Ini adalah untuk memastikan mereka mematuhi perintah kuarantin di rumah kerana kita tidak lagi melaksanakan kuarantin di pusat-pusat kuarantin lagi.

“Mereka juga diwajibkan memuat turun aplikasi MySejahtera,” katanya lagi.

Ketika ditanya mengenai bila tadika dan pusat tuisyen akan dibuka, Ismail Sabri berkata, Kementerian Pendidikan sedang menyediakan SOP-nya dan akan membuat pengumuman tidak lama lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast