Seorang tukang urut OKU penglihatan sedang mengurut pelanggannya di Pusat Urut dan Refleksologi Sungai Besi, Kuala Lumpur.

PUTRAJAYA – Pembukaan pusat urut dan refleksologi yang dikendalikan orang kurang upaya (OKU) dijangka diketahui minggu depan selepas dibentangkan kepada
Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Langkah itu adalah bagi mengetahui berkenaan prosedur operasi standard (SOP) yang akan digunapakai, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, SOP itu ketika ini masih diteliti dan diperkemaskan oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).

“Kita akan membentangkannya kepada MKN untuk mendapat kelulusan dalam masa terdekat.

“Kita akan melihat dengan teliti SOP yang boleh diguna pakai. Justeru, kita akan bentangkan kepada MKN berkemungkinan pada minggu depan,” katanya pada sidang media hari ini.

Dalam perkembangan lain Noor Hisham berkata, operasi semua sektor ekonomi dijangka dibuka semula sepenuhnya pada penghujung tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) Ogos depan.

Katanya, ia adalah sasaran Kementerian Kesihatan (KKM) jika trend jangkitan baharu wabak itu seperti sekarang atau menurun lagi.

“Kita sudahpun membuka semula salun dan kedai gunting rambut. Sampai ke penghujung PKPP, kita menjangkakan boleh membuka semula semua sektor.

“Jika kita boleh mengekalkan kes dengan satu, dua angka serta menurunkan kes lagi, kita boleh membuka semula lebih banyak (sektor dari semasa ke semasa),” ujarnya. – MalaysiaGazette