Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah solat Jumaat dibenarkan mulai esok di 39 buah masjid di negeri itu.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah solat Jumaat dibenarkan mulai esok di 39 buah masjid di negeri itu.

Bagaimanapun, Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, had jemaah ditetapkan sebanyak 40 orang termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa.

Solat fardhu berjemaah juga dibenarkan di masjid-masjid yang sama mulai esok.

“Bagi yang tidak dapat menunaikan solat Jumaat hendaklah digantikan dengan solat Zohor.

“Solat berjemaah adalah dibenarkan bagi solat Subuh, Maghrib dan Isyak sahaja di 39 buah masjid-masjid yang sama dengan jumlah kehadiran 40 orang tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa masjid,” titah baginda menerusi kenyataan akhbar Mohamad Munir hari ini.

Kad akan diedarkan kepada 40 orang yang akan dibenarkan berjemaah di masjid untuk solat Jumaat.

Baginda bertitah lagi, semua surau di negeri itu masih tidak dibenarkan beroperasi.

“Semua surau termasuk surau kebenaran solat Jumaat masih tidak dibenarkan untuk dibuka melainkan tiga orang pegawai seperti yang ditetapkan terdahulu,” titah baginda lagi.

Keputusan terbaharu Sultan Selangor itu selepas mendapat sembah taklimat daripada Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim berkaitan dengan kedudukan dan data terkini kes wabak Covid-19 di negeri tersebut beserta nasihat daripada Mufti Selangor bersama Timbalan Mufti Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).-MalaysiaGazette