Noor Hisham Abdullah

Sememangnya kita harus bersyukur kerana lahir di tanah air tercinta Malaysia.

Tatkala berjutaan orang di negara-negara yang dinyatakan kuat dari segi ekonomi dan sosial jatuh ditakluk pandemik pemusnah Covid 19, sebuah negara Asia Tenggara yang mempunyai penduduk yang kurang daripada 50 juta menempa nama sebagai antara negara yang terbaik dalam menangani Pandemik Covid- 19 ini.

Masih lagi segar di ingatan apabila kita digemparkan dengan kes kematian yang begitu banyak di negara Itali, yang menyebabkan Covid- 19 yang halimunan ini digeruni seluruh dunia.

Langkah kerajaan untuk mematahkan serangan pandemik ini berjaya apabila adiwira negara kita berupaya untuk menentang musuh ini.

Salah satu nama yang paling sinonim bukan sahaja di Malaysia malahan di seluruh dunia iaitu Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah atau pun lebih dikenali sebagai DG Hisham.

Setiap hari tanpa gagal memberikan maklumat kesihatan yang terperinci mengenai keadaan negara semasa dilanda Pandemik halimunan ini.

Tugas beliau bukan setakat menyampaikan maklumat penting sahaja, tetapi anak kelahiran Sepang ini telah menggalas tugas sebagai Pengarah Kesihatan Malaysia sejak Mac 2013.

Sekalung budi kepada Mantan Perdana Menteri Ke – 6 kita, Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah mengenalpasti Noor Hisham yang pada masa itu merupakan seorang Pakar Pembedahan Endokrin yang terkenal.

Beliau merupakan seorang yang amat prihatin terhadap kesihatan dan sentiasa berada di barisan hadapan sejak bermulanya Pandemik Covid -19 ini.

Apa yang menjadi kehebatan beliau ialah bukan sahaja menjadi seorang ketua kepada petugas barisan hadapan kita di seluruh Malaysia, malah sikap beliau yang selalu menyatakan bahawa beliau hanya merupakan salah seorang yang bertugas untuk mengawal dan menghapus wabak ini.

Sifat rendah diri dan hemah tinggi menjadi intipati utama beliau sebagai seorang pemimpin barisan hadapan kita.

Beliau menjalankan tugasan sebagai seorang Pengarah Kesihatan serta juga sebagai seorang doktor yang bertanggungjawab.

Beliau telah pun menjalankan beberapa pembedahan yang penting dalam sejarah bertugas beliau. Kita harus bersyukur apabila kita mempunyai seorang Pengarah Kesihatan yang begitu bertanggungjawab dan tekun menjalankan tugasan beliau. Seorang anak kecil yang sentiasa bermain di Flat San Peng kini dijulang namanya kepersada antarabangsa apabila strategi kesihatan bersama kerajaan telah berjaya membawa Pandemik Covid 19 dalam keadaan agak terkawal sementara negara negara yang besar seperti Amerika Syarikat dan Brazil masih lagi tergapai gapai mencari jalan penyelesaian.

Syukur kepada Tuhan kerana negara Malaysia mempunyai seorang rakyat yang bertanggungjawab. Hanya dengan senyuman yang bersahaja beliau menyatakan “saya hanya menjalankan tugasan saya iaitu menjaga kesihatan rakyat”.

Sememangnya Noor Hisham adalah ADIWIRA BERJUBAH PUTIH.

Parti Makkal Sakti Malaysia mengucapkan setinggi penghargaan kepada beliau dan kepada semua petugas barisan hadapan yang lain yang mengorbankan masa dan tenaga mereka berjuang menentang pandemik ini.

Sebagai usaha mengenang budi, kami telah mengadakan kempen ‘Terima kasih Petugas Barisan Hadapan” di seluruh Malaysia sejak permulaan sehingga hari ini (10 Jun 2020)

Terima Kasih kepada anda semua, kerana anda,kami sihat sejahtera dan aman bahagia.

oleh

Presiden Parti Makkal Sakti