Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini memaklumkan sebanyak 43 kes positif baharu Covid-19 dilaporkan setakat 12 tengahari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ia sekaligus menjadikan jumlah kumulatif kes positif  sebanyak 8,445 kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,014 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

“Ingin dimaklumkan daripada 43 kes baharu yang dilaporkan, lima kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan empat warganegara Malaysia dan satu bukan warganegara yang merupakan pemastautin tetap.

“Daripada 38 kes penularan di dalam negara, 23 kes adalah bukan warganegara dan 15 kes adalah dalam kalangan warganegara,” katanya dalam sidang media perkembangan harian jangkitan semasa Covid-19 di sini hari ini.

Tambah Noor Hisham, hari ini sebanyak 143 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj sekaligus menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 7,311 kes (86.57 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Menyentuh mengenai perincian 15 kes dalam kalangan warga tempatan, katanya, satu kes adalah di Kuala Lumpur iaitu kes Influenza Like Illness (ILI) di sebuah klinik kesihatan.

Manakala di Selangor, katanya, sebanyak empat kes warga tempatan direkodkan iaitu dua kes saringan di dua buah pusat tahfiz, dua kes saringan pasukan barisan hadapan (bukan petugas kesihatan) di Sabak Bernam.

Ujar beliau, lima kes lagi adalah di Negeri Sembilan iaitu tiga kes saringan pusat tahfiz di tiga buah pusat tahfiz, satu kes saringan penjawat awam di Seremban yang bercadang untuk pulang ke Sabah; satu kes saringan kontak rapat kepada kes positif Covid-19 (kes ke-7,756) di Negeri Sembilan yang mana kontak berlaku semasa aktiviti ziarah Hari Raya Aidilfitr pertama.

Sabah merekodkan satu kes iaitu satu kes kematian didalam komuniti yang dibawa ke hospital (kes kematian ke-120 seperti yang diperincikan;Pahang satu kes iaitu satu kes saringan dalam komuniti di Temerloh; Perak satu kes iaitu saringan kes saringan pusat tahfiz; Melaka dua kes iaitu satu kes saringan pusat jagaan warga emas dan satu lagi kes saringan pusat tahfiz.

“Sehingga kini, sebanyak empat kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan.

“Dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan satu lagi kes kematian berkaitan Covid-19. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia adalah sebanyak 120 kes  dan ia 1.42 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Kes kematian ke-120 (kes ke-8, 403) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 96 tahun. Beliau telah
meninggal dunia pada 12 Jun lalu di rumah beliau dan jenazah beliau dibawa ke Hospital Queen Elizabeth, Sabah.

“Saringan ujian Covid-19 didapati positif manakala punca jangkitan bagi kes ini masih dalam siasatan,” ujarnya.

Sementara itu, Noor Hisham berkata, bagi perincian positif Covid-19 bagi jangkitan dalam negara iaitu 23 kes dalam kalangan bukan warganegara, sebanyak 21 kes telah dikesan.

Ia dikesan dalam kalangan penghuni Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil yang telah dipindahkan ke Akademi Imigresen Malaysia (AIM) di Port Dickson, Negeri Sembilan.

“Manakala satu kes saringan di Pasar Pemborong Sayur oleh Pejabat Kesihatan Penampang, Sabah dan satu kes saringan pekerja ladang warga asing di Temerloh, Pahang,” tegasnya.-MalaysiaGazette