Pakar-pakar kesihatan di seluruh dunia melahirkan kebimbangan terhadap trend yang meningkat di beberapa negara sejak beberapa hari lalu susulan penamatan perintah berkurung dengan terlalu cepat. - Gambar hiasan

LONDON/BRUSSELS  – Kebimbangan terhadap gelombang kedua pandemik Covid-19 menyebabkan enam pasar makanan utama di Beijing ditutup pada Jumaat.

Manakala India yang menamatkan perintah berkurungnya minggu ini merekodkan peningkatan terhadap kes positif dan enam negeri di Amerika Syarikat memaklumkan katil-katil di hospital dipenuhi dengan cepat.

Pakar-pakar kesihatan di seluruh dunia melahirkan kebimbangan terhadap trend yang meningkat di beberapa negara sejak beberapa hari lalu susulan penamatan perintah berkurung dengan terlalu cepat.

Protes anti-rasisme juga boleh menjadi penyebar kepada virus berkenaan.

“Kita perlu menarik semula kelonggaran tersebut jika perlu,” kata Pesuruhjaya Kesihatan Kesatuan Eropah Stella Kyriakides selepas menggesa 27 ahli kesatuan tersebut melakukan ujian terhadap populasi apabila mereka membuka semula sekolah dan perniagaan.

Di China, dua kes terbaharu Covid-19 direkodkan di Beijing menyebabkan pihak berkuasa menutup sesetengah bahagian atau keseluruhan enam pasar borong makanan utama yang dikunjungi dua lelaki positif Covid-19.

Bagaimanapun, punca dari mana mereka mendapat jangkitan tersebut masih belum diketahui.

Manakala India telah membuka kesemua pengangkutan awam, pejabat dan gedung membeli-belahnya selepas ditutup hampir 70 hari walaupun pegawai-pegawai kesihatan berpendapat mereka masih memerlukan beberapa minggu lagi untuk melandaikan lengkung wabak.

Jumlah kematian rasmi adalah sebanyak 8,498 yang secara relatifnya adalah kecil tetapi Kementerian Kesihatan berkata, kes positif yang didaftarkan adalah sebanyak 10,956 pada Jumaat.

Ia merupakan satu rekod baharu dan kebanyakan kes berlaku di Delhi, Mumbai dan Chennai.

Di Turki, persatuan perubatan terkenal di negara itu berpendapat, melonggarkan sekatan 1 Jun lalu adalah tindakan tergopoh-gapah meskipun jumlah kematian menurun ke paras 20 dalam tempoh beberapa minggu lalu.

“Terdapat perbincangan bilakah gelombang kedua akan melanda tetapi kita sendiri masih belum berjaya menamatkan gelombang pertama,” kata salah seorang penyelidik koronavirus di Persatuan Perubatan Turki, Cavit Isik Yavuz.

Meskipun jangkitan baharu mula menurun di kebanyakan negara Eropah, pakar-pakar kesihatan melihat ada risiko sederhana hingga tinggi penularan wabak Covid-19 pasca perintah berkurung sehingga menyebabkan sekatan baharu perlu dilaksanakan semula.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Eropah (ECDC) menjangkakan peningkatan sederhana akan berlaku di seluruh Eropah dalam tempoh beberapa minggu lagi sehingga membebankan sistem penjagaan kesihatan sekiranya tidak ditangani dengan baik.

Kerajaan perlu melakukan semakan dan melaksanakan langkah sekatan sekiranya trend meningkat dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi, katanya.- MalaysiaGazette