Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Orang ramai yang berada di Semenanjung, Sabah dan Labuan yang mahu memasuki Sarawak tidak lagi perlu memohon kebenaran dari Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak.

Mereka juga menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tidak lagi perlu mengambil sampel (ujian saringan Covid-19 PCR) sebelum berlepas ke negeri tersebut.

“Namun begitu, mereka perlu mematuhi SOP yang telah ditetapkan termasuk memuat turun aplikasi MySejahtera dan mengisi borang deklarasi kesihatan dalam talian,” katanya semasa sidang media hari ini.

Tambah Ismail Sabri, sampel PCR akan diambil secara rambang sejurus tiba di pintu masuk utama negeri Sarawak sama ada melalui darat, udara atau laut.

Pengunjung juga dinasihatkan untuk memuat turun aplikasi Covid Trace Sarawak dan Qmunity.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, semalam, seramai 478 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Dari jumlah tersebut, tiga daripadanya didapati positif Covid-19 dan telah dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut manakala 475 lagi diarahkan untuk menjalani kuarantin wajib di rumah.

Tambah Ismail Sabri, seramai 270 individu juga telah tiba melalui pintu masuk di negeri Johor dan telah diperintahkan untuk menjalani kuarantin di rumah semalam.

“Suka saya mengingatkan, kuarantin wajib di rumah ini bermaksud kuarantin di dalam bilik di rumah. Makanan juga harus dihantar di luar pintu bilik sahaja.

“Anda tidak boleh berlegar-legar di dalam rumah atau menonton televisyen bersama ahli keluarga dan sebagainya kerana dikhuatiri akan menjangkiti ahli keluarga yang lain pula.

“Meskipun anda negatif Covid-19 semasa saringan pertama tetapi kita bimbang kerana tempoh inkubasi berlaku selama 14 hari dan anda diwajibkan melakukan ujian saringan sekali lagi pada hari ke-13,” katanya lagi.

Tegasnya, mana-mana individu yang mengingkari proses kuarantin wajib dan SOP yang telah ditetapkan akan dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 atau dihadapkan ke mahkamah.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast