Mahdzir Khalid

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) hari ini menafikan dakwaan yang ditularkan netizen kononnya Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid dibayar elaun yang tinggi.

Menurut TNB, elaun bulanan Mahdzir sebenarnya jauh lebih rendah dari paparan yang dikongsikan di media sosial, namun mencerminkan tanggungjawab beliau memimpin sebuah syarikat dengan lebih 9 juta pelanggan dan asset bernilai hampir RM60 bilion.

“Sebagai sebuah syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia, emolumen yang diterima Ahli-ahli Lembaga Pengarah TNB dinyatakan dalam Laporan Tahunan yang diterbitkan setiap tahun,” kata TNB dalam kenyataan di sini.

Kenyataan itu menjawab tuduhan yang berlegar di media sosial menuduh elaun Mahdzir sebanyak RM958,288 sebulan RM11,499,46. dan dikaitkan dengan isu bil elektrik yang menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pengguna.

Menurut paparan laporan tahunan TNB, pengerusinya  yang terdahulu  menerima emolumen sebanyak RM30,000 sebulan serta layak menikmati elaun serta kemudahan tertentu.

Mengulas lanjut, TNB menasihatkan orang ramai supaya tidak berkongsi paparan tidak benar berkaitan elaun tinggi tersebut dan sentiasa memastikan kesahihan maklumat sebelum membuat sebarang perkongsian.

“Perbuatan menularkan paparan serta maklumat yang tidak benar atau palsu adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.

Mahdzir dilantik pengerusi TNB berkuatkuasa 12 Mei 2020 menggantikan Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir yang dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bermula 1 Mei lalu. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast