Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang pelajar warga Iraq dipercayai kerugian RM300,000 selepas pesanan pembelian topeng muka menerusi Facebook (FB) tidak diterimanya sejak Mac lalu.

Menurut jurucakap polis, mangsa yang berusia 34 tahun itu menetap di negara ini dan sanggup menjual rumahnya di Iraq semata-mata untuk membeli topeng muka berkenaan untuk diagihkan kepada rakyat di Iraq sejak pandemik COVID-19 mengancam dunia.

Kata jurucakap itu, mangsa mulanya melayari laman FB yang mengiklankan produk berkenaan pada Februari lalu sebelum membelinya untuk diagihkan kepada rakyat di Iraq.

“Mangsa telah berjumpa suspek beberapa kali untuk berbincang mengenai pembelian 10,000 kotak topeng muka dengan harga RM30 sekotak.

“Mangsa telah diberikan resit pembelian serta perjanjian jual beli sebelum bayaran ke akaun bank dibuat.

“Bagaimanapun sehingga bulan Mei lalu, wanita itu tidak menerima pesanan sebagaimana yang dijanjikan sebelum dia bertindak membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi,” katanya.

Tambah jurucakap itu, suspek berbangsa Cina, berusia 29 tahun telah berjaya dikesan dan ditangkap.

“Siasatan awal mendapati suspek sebelum ini telah memalsukan salinan MyKad.

“Suspek akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dengan empat pertuduhan.

“Lanjutan siasatan turut mendapati suspek memiliki rekod jenayah lampau dibawah seksyen sama,” katanya.

Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman merekodkan 498 kes penipuan penjualan penutup hidung dan mulut dengan kerugian hampir RM5 juta sepanjang pelaksanaan Op Covid-19 bermula 18 Mac lalu. – MalaysiaGazette