Diantara jemaah yang berada diluar masjid tidak dapat menunaikan solat Jumaat kerana telah dihadkan kepada 40 orang jemaah tidak termasuk pegawai dan kakitangan masjid ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. foto AFIQ RAZALI, 12 JUN 2020

KUALA LUMPUR – Lebih banyak lagi masjid akan dibuka di Selangor untuk umat Islam menunaikan solat Jumaat dan fardhu secara berjemaah esok.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, bagaimanapun masjid yang akan dibuka adalah meliputi mukim yang dikategorikan sebagai zon hijau.

Titah baginda, bilangan jemaah di Masjid Negeri juga ditambah daripada 40 kepada 250 orang tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa masjid berkenaan.

“Jumlah jemaah di 38 masjid yang dibenarkan sebelum ini turut ditambah daripada 40 kepada 150 orang tidak termasuk pegawai dan AJK (ahli jawatankuasa).

“Bagi masjid di seluruh negeri yang berada dalam mukim zon hijau, bilangan jemaah dihadkan 40 orang tidak termasuk pegawai dan AJK,” demikian titah baginda menerusi kenyataan hari ini.

Titah baginda lagi, semua surau di seluruh negeri termasuk Surau Kebenaran Solat Jumaat masih tidak boleh dibuka melainkan tiga pegawai yang dibenarkan untuk melaksanakan solat fardu seperti yang ditetapkan.

Justeru, Sultan Sharafuddin menitahkan jemaah mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Jabatan Agama Islam Selangor khususnya dengan mengambil wuduk di rumah, membawa sejadah sendiri, memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan sosial.

Bagi yang tidak sihat mereka dilarang sama sekali melaksanakan solat di masjid manakala pihak masjid dan jemaah juga hendaklah mematuhi garis panduan lain yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia, titah baginda. – MalaysiaGazette