Tertuduh, Kalaichelvan Kanniappan, meninggalkan mahkamah selepas sebutan semula kes memandu dalam keadaan mabuk dan merempuh anggota polis hingga maut dalam Sekatan Jalan Raya Ops COVID-19 di Plaza Tol Kajang Selatan di Kompleks Mahkamah Kajang Selangor. foto MOHD ADZLAN, 18 JUN 2020.

KAJANG – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 10 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes melibatkan seorang ahli perniagaan terhadap tuduhan memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian seorang anggota polis berpangkat koperal pada 3 Mei lalu.

Ketika kejadian, anggota polis berpangkat koperal berkenaan sedang menjalankan sekatan jalan raya Op Covid-19 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Hakim Mohd Kafli Che Ali menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwaraya masih memerlukan beberapa dokumen berkaitan yang belum diterima.

Peguambela tertuduh pula mahu tarikh baharu sebutan semula ditetapkan bersama sebutan satu lagi tuduhan pengingkaran PKP di Majistret Kajang 10 Ogos ini.

Tertuduh Kalaichelvan Kanniappan, 44, hadir sendiri ke mahkamah dengan berpakain baju kemeja T biru, berseluar jeans biru, memakai penutup muka dan topi besbol mengelak dicam media sekitar jam 8.45 pagi.

Dia ditemani ahli keluarganya seorang wanita dipercayai isterinya ke mahkamah.

Tertuduh menghadapi tiga pertuduhan berdiri tenang di kandang tertuduh apabila namanya dipanggil jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Kafli Che Ali pagi tadi.

Timbalan Pendakwa Raya, Norhana Sahat membacakan segala dokumen serahan kes yang ditetapkan hari ini 18 Jun 2020.

“Yang Arif bagaimanapun kami masih kekurangan dua lagi laporan berkaitan perubatan dalam kes ini belum diserahkan polis.

“Saya memohon tuan hakim menetapkan satu lagi tarikh sebutan semula serahan dokumen untuk penyerahan dokumen laporan bedah siasat dan laporan perubatan yang diperlukan dalam kes ini,” kata timbalan pendakwar raya.

Sementara itu, peguambela tertuduh, Haijan Omar merayu mahkamah yang tertuduh juga menghadapi sebutan semula bagi pertuduhan sama tetapi di bawah Seksyen 3(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kerana melanggar arahan PKP iaitu gagal memberi sebab munasabah mengenai pergerakannya yang ditetapkan sebutan semula pada 10 Ogos ini.

“Tuan hakim memandangkan tertuduh juga menghadapi satu lagi pertuduhan sebutan semula ingkar PKP pada 10 Ogos ini secara berasingan. Oleh demikian saya memohon supaya tarikh sebutan semula serahan dokumen dalam tiga pertuduhan kes ini ditetapkan hari sama iaitu 10 Ogos juga untuk disebut bersama,” katanya.

Mohd Kafli kemudian menetapkan tarikh 10 Ogos ini sebagai sebutan semula serahan dokumen kes berkenaan sebelum diumumkan oleh jurubahasa wanta kepada tertuduh yang berdiri di dalam kandang.

Pada 13 Mei lalu, Kalaichelvan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen yang mana dalam pertuduhan pertama didakwa mengikut Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87), memandu kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux di bawah pengaruh alkohol dan menyebabkan kematian kepada seorang anggota polis berpangkat Koperal yang sedang menjalankan sekatan jalan raya Op Covid-19 PKP.

Dia turut dituduh di bawah Seksyen 26(1) akta yang sama iaitu kesalahan membawa kenderaan tanpa lesen memandu yang sah selain membenarkan tertuduh memandu di atas jalan dan boleh dihukum dibawa Seksyen 26(2) akta yang sama.

Bagi pertuduhan satu lagi, Kalaichelvan dituduh memandu kenderaan dan tidak mematuhi apa-apa isyarat yang munasabah yang diberi oleh seorang pegawai polis yang bertugas menghendaki orang atau kenderaan berhenti sebelum sampai ke sekatan jalan raya sebagai kesalahan mengikut Seksyen 26 (2) Akta Polis 1967 (Akta 334) dan boleh dihukum di bawah Seksyen yang sama.

Bagaimanapun dia mengaku tidak bersalah untuk kesemua pertuduhan itu.

Kalaichelvan didakwa melakukan semua kesalahan itu pada pukul 2.10 pagi 3 Mei lalu berhampiran Plaza Tol Lebuhraya Lekas, Kajang.

Mohd Kafli yang mendengar kes ketika itu bagaimanapun telah menetapkan ikat jamin sebanyak RM20,000 ke atas tertuduh dengan seorang penjamin dan beliau dikehendaki melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap 5 haribulan sehingga kes perbicaraan selesai.

ARTIKEL BERKAITAN:

Ahli perniagaan mengaku tak bersalah sebabkan kematian polis di sekatan jalan raya

1 Komen

Comments are closed.