Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA- Saringan Covid-19 di depot-depot tahanan imigresen adalah salah satu pendekatan tertumpu bagi kumpulan berisiko tinggi yang dilaksanakan kerajaan ketika ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, lokasi-lokasi depot tahanan ini telah dikenalpasti berisiko tinggi dalam penularan jangkitan Covid-19 susulanĀ  berlakunya jangkitan Covid-19 dalam kalangan Orang Kena Tahan (OKT).

Susulan itu, katanya beberapa fokus telah diberikan dalam saringan ini, iaitu semua OKT yang baharu di depot tahanan perlu menjalani persampelan dan OKT yang akan dipindah ke pusat tahanan lain perlu disampel terlebih dahulu.

“Justeru, semua OKT yang bakal dihantar pulang ke negara asal juga perlu disampel terlebih dahulu, semua kakitangan yang bertugas di pusat-pusat tahanan juga wajib disampel serta persampelan secara rawak sebagai penilaian risiko oleh
Pejabat Kesihatan Daerah/Jabatan Kesihatan Negeri,” katanya dalam kenyataan perkembangan semasa Covid-19 hari ini.

Sehingga 18 Jun 2020, jam 12 tengah hari, katanya sebanyak 13,149 individu telah menjalani persampelan di mana 782 kes telah dikesan positif Covid-19.

Jadual Persampelan Covid-19 dalam kalangan tahanan, kakitangan dan staff di Depot Tahanan Imigresen mengikut negeri.Sumber KKM

Daripada jumlah tersebut, seramai 11,564 adalah negatif Covid-19 dan 803 orang lagi masih menunggu keputusan persampelan itu.

“Daripada jumlah kes positif, tujuh kes adalah dalam kalangan warga negara manakala 775 adalah bukan warga negara.

“Setelah kes Covid-19 dikenalpasti, mereka diasingkan dan dimasukkan ke hospital untuk dirawat dan tindakan saringan kes secara aktif (active case detection) dijalankan,” tegasnya.-MalaysiaGazette