Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Dua lelaki berusia ditahan polis dalam serbuah berasingan di ibu negara atas kesalahan memiliki dan mengedar dadah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Adnan Azizon berkata, pada serbuan pukul 8.15 malam 17 Jun lalu suspek warga tempatan berusia 38 tahun ditangkap di kawasan semak sebuah rumah di Jalan Gombak.

“Hasil pemeriksaan terhadap suspek berjaya merampas dadah disyaki heroin seberat 45.53 gram dan syabu seberat 2.61 gram dan siasatan lanjut suspek mempunyai lima rekod dadah lampau dan dua rekod jenayah selain ujian saringan mengesahkan positif dadah morfin.

“Dia direman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah selama lima hari bermula 18 Jun 2020 hingga 22 Jun 2020 dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mana membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan suspek terlibat dalam aktiviti dadah seama tiga bulan.

“Polis juga berjaya merampas dadah daripadanya yang boleh dibekalkan kepada 20 orang pengguna dengan bernilai pasaran RM2,664 dan wang tunai RM115.00 disita,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, hasil soal siasat ke atas suspek dan makluamt yang diterima, polis melakukan serbuan kedua pada pukul 10.40 malam 18 Jun lepas di flat Danau Kota dan menahan lelaki warga Myanmar disyaki tokan dadah berusia 31 tahun.

Katanya, hasil pemeriksaan pihaknya menjumpai dadah jenis heroin seberat 220 gram dan syabu atau methamphetamine seberat 67.78 gram beserta wang tunai RM175.00.

“Suspek tidak mempunyai rekod lampau, ujian urin sahkan positif morfin dan ditahan Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah selama 14 hari bermula 18 jun hingga 1 Julai ini dan disiasat di bawah Seksyen 389 B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahann.

“Dia disyaki terlibat dalam aktiviti dadah selama 4 bulan lalu dan jumlah rampas keseluruhan dadah digunakan untuk 80 orang dengan bernilai RM21,199.

“Siasatan mendedahkan kedua-dua suspek terlibat kegiatan mengedar dadah heroin dan syabu sekitar kawasan Lembah Klang, dan kejayaan tangkapan ini sekaligus menumpaskan kegiatan edar dadah didalangi warga tempatan dan asing dan nilai rampasan keseluruhannya melibatkan dadah ialah RM23,863.50,” ujarnya – MalaysiaGazette