Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR- Rundingan Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) akan diteruskan pada Mesyuarat Antara Sesi Menteri-Menteri Ke-10 secara maya esok.

Menteri Kanan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Azmin Ali bakal mengetuai delegasi Malaysia dalam rundingan bersama 14 lagi negara yang terdiri daripada Asean dan rakan kongsi Asean 5 FTA seperti Jepun, Korea, China, Australia dan New Zealand.

Katanya, pada fasa ini, rundingan tersebut adalah sangat penting dalam membolehkan perjanjian RCEP dapat dimeterai pada hujung tahun ini.

MITI dalam satu kenyataan berkata, Menteri-Menteri Perdagangan 15 negara anggota itu dijangka berbincang mengenai isu-isu berbangkit bagi membolehkan perjanjian dimuktamadkan.

Menurut Azmin, Malaysia sangat berharap perjanjian RCEP boleh dimuktamadkan.

Kerajaan Malaysia katanya, komited untuk mempromosikan perdagangan bebas dan adil dan dalam masa yang sama menyeimbangkan kepentingan pemegang taruh domestik.

RCEP apabila dimuktamadkan dijangka menjadi perjanjian perdagangan bebas serantau terbesar di dunia dari segi sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada ekonomi dan populasi dunia.- MalaysiaGazette