Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain beramah mesra bersama penduduk semasa sesi walkabout sempena Pilihan Raya Kecil N. 23 Chini di Kedai Mokthar Felda Chini 1, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 22 JUN 2020.

CHINI – Calon Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini memohon maaf kepada semua pengundi di kawasan tersebut apabila tidak dapat bersalaman dengan mereka kerana mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah digariskan Suruhannya Pilihan Raya (SPR).

Mohd Sharim Md Zain berharap para pengundi tidak berkecil hati apabila beliau turun padang berkempen dan pada yang sama tidak dapat menghulurkan tangan berjabat dengan mereka.

“Siang tadi adalah siri pertama kempen saya berjumpa pengundi tapi awal-awalnya disebabkan saya sudah terbiasa jumpa orang terutama yang mengenali dan terus bersalaman.

“Tapi bila sudah ditegur, saya terus patuhi dan kita pula memberi penerangan kepada pengundi bahawa saya kena patuhi SOP ditetapkan. Jadi minta maaflah dan bukannya saya tidak mahu (bersalaman),” katanya selepas program perjumpaan bersama generasi Felda di Felda Chini Timur 1, malam tadi.

Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain bercakap kepada media selepas pada Program Perjumpaan Bersama Generasi Felda Chini sempena Pilihan Raya Kecil N. 23 Chini di Chini Timur 1, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 21 JUN 2020.

Calon BN itu mengakui bahawa pendekatan yang diamalkan pada PRK kali ini sangat berbeza dengan sebelumnya.

Ujarnya disebabkan norma baharu yang dilaksanakan SPR dalam PRK kali ini, beliau terpaksa merombak jadual kempen dengan menggunakan pendekatan lebih besederhana namun efektif.

PRK DUN Chini diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat serangan jantung selepas terjatuh dan mengalami sesak nafas.

Pada PRU14 lalu, Abu Bakar mempertahankan kerusi DUN Chini dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi, manakala calon PAS Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (5,405) dan Mohamad Razali Ithnain dari PKR (1,065).

SPR menetapkan hari mengundi awal bagi PRK Dun Chini pada 30 Jun, manakala hari mengundi pada 4 Julai nanti.

Untuk rekod, Chini adalah PRK ke-11 yang diadakan selepas PRU-14.

DUN Chini, yang merupakan satu daripada empat DUN di bawah Parlimen Pekan, akan menyaksikan PRK pertama selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan pada 18 Mac lepas.

Daftar pemilih bagi PRK DUN Chini mengandungi 20,990 pengundi yang terdiri daripada 20,972 pengundi biasa dan 18 pengundi awal polis. – MalaysiaGazette