Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun meluangkan masa melihat kakitangan SPR melakukan persiapan terakhir semasa mengadakan lawatan ke Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil N. 23 Chini di Institut Kemahiran Belia Negara Pekan, Pahang. foto AFFAN FAUZI, 19 JUN 2020

CHINI – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah menghantar 156 kertas undi pos bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.23 Chini, Pahang, semalam.

Menurut Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun, kesemua 156 permohonan undi pos tersebut terdiri dalam kalangan petugas pilihan raya.

“Pengeluaran kertas undi pos bermula pada jam 2.30 petang dan dijalankan oleh Petugas Pilihan Raya di Dewan Komuniti, Majlis Daerah Pekan.

“Tiada Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara dan permohonan undi pos bagi kategori Borang 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara) dan kategori Borang 1C (anggota petugas kesihatan dan keselamatan yang dibenarkan),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini

Tambah Azhar Azizan, proses pengeluaran kertas undi pos ini dijalankan dengan kehadiran wakil calon daripada parti Barisan Nasional (BN).

“Proses pengeluaran kertas undi pos bagi PRK DUN N.23 Chini, Pahang ini telah disiarkan secara live streaming di Facebook SPR bagi tujuan untuk meningkatkan
lagi kefahaman masyarakat awam mengenai proses pilihan raya.

“Sebanyak 155 sampul keutamaan telah diserahkan kepada pihak Pos Malaysia
untuk dihantar kepada pengundi-pengundi terbabit manakala satu lagi sampul keutamaan telah diserahkan oleh Pegawai Pengurus kepada pengundi melalui serahan tangan pada hari yang sama,” katanya.

Dalam pada itu, Azhar Azizan menasihat mana-mana pengundi yang menerima kertas undi pos agar tidak memuatnaik gambar kertas itu ke dalam media sosial.

“Sekiranya perbuatan ini dilakukan, tindakan undang-undang akan diambil dan jika disabitkan serta didapati bersalah boleh dikenakan hukuman sewajarnya,” katanya lagi.

Kesemua kertas undi harus tiba sebelum jam 5 petang pada Hari Mengundi iaitu pada 4 Julai.

PRK DUN Chini menyaksikan Mohd Sharim yang mewakili BN bakal berentap dengan dua lagi calon Bebas, iaitu bekas Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bahagian Pekan, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin dan aktivis, Mohd Shukri Mohd Ramli. – MalaysiaGazette