Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran supaya terus mempertingkatkan kawalan sempadan negara bagi mengelakkan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Selain tidak mahu ada tali barut yang terlibat, kerajaan perlu praktikal dalam usaha menangani kemasukan PATI, kata Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai.

“Kerajaan perlu melaksanakan siasatan dalaman yang berkesan untuk mengelakkan berlakunya kompromi dalam kalangan anggota pihak berkuasa.

“Di samping memperketatkan undang-undang, rakyat juga digalakkan untuk membantu kerajaan menyalurkan maklumat pada masa yang sama,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dominic berkata, biarpun usaha mencegah kemasukan PATI sukar dicapai dalam tempoh masa yang singkat, kawalan dan penguatkuasaan daripada semua pihak berkuasa mampu mengurangkan jumlah kemasukan mereka.

Presiden Kebangsaan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai .

Oleh itu beliau berkata, kerjasama daripada semua pihak perlu diperkasakan dalam membendung masalah tersebut daripada terus berlarutan.

“Sebarang kemasukan tanpa dokumen yang sah adalah salah dan ia boleh menggugatkan kedaulatan negara.

“Saya menyeru semua rakyat untuk bersama dengan kerajaan dalam membanteras PATI,” ujarnya. – MalaysiaGazette