Ibu berusia 30 tahun bersama keenam-enam anaknya itu juga 'menumpang' mandi di tandas sebuah stesen minyak di Rasa, Hulu Selangor.-Gambar ihsan LZS.

KUALA LUMPUR – Nasib malang seorang ibu muda.

Selepas diceraikan suami dia juga dihalau keluar dari rumah kerana tidak mampu membayar tunggakan sewa dan terpaksa tidur di dalam kereta.

Ibu berusia 30 tahun bersama keenam-enam anaknya itu juga ‘menumpang’ mandi di tandas sebuah stesen minyak di Rasa, Hulu Selangor.

Anak-anaknya pula berusia dalam lingkungan 14 hingga 5 bulan.

“Beliau sedang dalam proses penceraian kerana kes ditangguhkan kerana PKP (Perintah Kawalan Pergerakan). Suami tidak pulang ke rumah lebih empat bulan sejak penghujung bulan Februari lalu.

“Ketika ini, beliau tidak mempunyai pekerjaan setelah diberhentikan oleh majikan sejak Mac lalu kerana PKP,” kata pegawai Lembaga Zakat Selangor (LZS) Hulu Selangor, Muhammad Haziq dalam Facebooknya (FB).

Ia turut dikongsi oleh FB rasmi LZS.

Menurut Muhammad Haziq, sepanjang PKP wanita berkenaan pulang ke kampung di Temerloh, Pahang.

“Ibarat jatuh ditimpa tangga. Beliau pulang dari kampung, tuan rumah pula meminta beliau keluar dari rumah sewanya.

“Sewa rumah tertunggak, tidak dibayar oleh ketua keluarga,” ujarnya lagi.

Ujian demi ujian menimpa dan wanita itu juga disyaki menghidapi kanser payu dara tetapi belum menerima rawatan susulan lagi.

Manakala anak yang berumur dua tahun mempunyai masalah jantung berlubang dan masih menerima rawatan susulan di Hospital Serdang selama dua kali setahun.

Bayi yang berumur lima bulan pula menghidapi ketumbuhan di leher namun belum dapat dikenalpasti dan menerima rawatan di Hospital Selayang.

“Terkini beliau dan anak-anak ditempatkan di sebuah hotel di Bukit Beruntung yang dibiayai oleh NGO Darul Jariyah,” katanya.

LZS menyalurkan sumbangan kecemasan RM500 bagi menampung keperluan pemohon dan anak-anak sementara menunggu bantuan susulan dalam masa terdekat.

Hasil bancian mendapati, beliau layak didaftarkan sebagai asnaf fakir dan antara bantuan yang akan disalurkan ialah deposit dan sewa bulanan rumah, bantuan kewangan bulanan, Bantuan Makanan Bulanan dan Bantuan Perubatan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast