Nozhar (dua dari kiri) dan Ridzuan (dua dari kanan) menunjukkan laporan polis serta tangkap layar oleh individu terbabit yang membuat fitnah di Facebook

KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan membuat laporan polis menggesa pihak berkuasa menyiasat individu tertentu yang memfitnahnya di Facebook.

Datuk Nozhar Che Noor, 53, terkejut apabila melihat gambarnya tersebar menerusi beberapa perkongsian di laman sosial berkenaan dengan disertakan kapsyen yang mengaitkannya dengan satu pertubuhan yang popular dengan panggilan ‘tiga line’.

Malah katanya, turut dimuat naik di dalam laman perkongsian itu gambar menantu perempuannya yang diambil oleh seorang lelaki bergelar ayahanda dari pertubuhan tersebut semalam.

Menurut Nozhar, individu itu telah membuat tuduhan kononnya beliau melindungi warga Bangladesh yang menjalankan aktiviti perniagaan di sekitar Semenyih.

“Saya tidak faham kenapa orang itu memviralkan perkara-perkara seperti ini.

“Benda ini diwujudkan hanya semata-mata untuk memalukan saya dan tidak ada alasan kuat untuk individu itu menuduh saya melindungi warga asing,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Nozhar yakin individu terbabit mempunyai niat untuk menjatuhkan imejnya yang merupakan Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Selangor.

Menceritakan lanjut mengenai perkara itu, Nozhar mendakwa, ada didatangi seorang Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan seorang lelaki dari pertubuhan berkenaan bergelar ayahanda semalam.

Katanya, ahli majlis itu telah berkunjung ke premis perniagaannya dan meminta beberapa dokumen berkaitan perniagaan untuk disemak selain ditanyakan beberapa soalan.

Beliau yang mempersoalkan perkara itu berkata, apa yang dilakukan oleh ahli majlis tersebut tidak betul kerana setahunya kuasa untuk melakukan perkara seperti itu hanya boleh dibuat oleh pihak berkuasa.

“Ahli majlis itu sudahlah datang tak bagi salam, masuk (premis) pula seperti seorang gangster. Macam itu ke seorang ahli majlis. Ini boleh mencemarkan imej kerajaan yang ada pada hari ini,” ujarnya.

Mengakui beliau ada bercampur dengan ahli pertubuhan berkenaan, namun Nozhar tidak sesekali melakukan perkara-perkara yang menyalahi undang-undang.

Katanya, beliau kini menyerahkan perkara tersebut kepada peguamnya untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Bertindak NGO Malaysia, Mohd Ridzuan Abdullah melihat individu yang berbuat demikian cuba menjadikan Nozhar sebagai “kambing hitam” dengan mempunyai niat yang tidak baik.

Katanya, individu terbabit cuba menjadikan Nozhar sebagai alat lebih-lebih lagi Semenyih merupakan kawasan panas ekoran terdapatnya ramai warga asing yang menjalankan aktiviti perniagaan di kawasan itu.

“Isu (kebanjiran peniaga warga asing) ini dijadikan bahan untuk menuding jari kepada orang lain.

“Saya kenal pastu individu terbabit ada mempunyai kaitan dengan warga asing yang menjalankan perniagaan di Semenyih. Jadi untuk melindungi dirinya dia cuba menjadikan orang lain untuk menyelamatkan diri,” ujarnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Harap pihak berkuasa bertindak segera..terutama warga2 asing haram n pendatang asing haram yg berani2 membuka perniagaan di ngra ini..bertindak dgn tgas. N hukum dgn berat…bukn di semenyih shja warga asing dr bngla berniaga..di sg buloh kg melayu, blh di katakn smua kedai runcit milik warga asing dr indo..hrap phk krjaan selangor buka mata sikit..jgn duk main politik je suang mlm..kerja tak buat…ada sesetgah warga asing pati berani bg warning kpd org tempatan supya jgn jadi tali barut pihak berkuasa…mmg pati sudah mrlampau..ko ingat aku takut..ini ngra aku..so ko tak pyh nak berani ya..itu kami ingat kn ya..jgn sesekali cabar kami sbgai rakyat ngra ini..padah nnti kamu ya pati…mmg warga indo ni dah kurang ajar..harap krjaan jgn bagi muka kpd indo2 ini..

Comments are closed.