Muhammad Ikmal Opat Abdullah

KUALA LUMPUR – – Tan Sri Muhammad Ikmal Opat Abdullah, melalui entiti Widad Business Group Sdn Bhd (WBG), telah membeli sebanyak 60,607,000 saham atau 2.5% kepentungan dalam Widad Group Berhad (WGB).

Pembelian pada 22 Jun itu telah meningkatkan penguasaan Muhammad Ikmal dalam WBG kepada 64.20%.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini menunjukkan blok saham dibeli oleh WBG pada harga 54 sen sesaham, yang mewakili premium 6 sen atau 12.5% ​​berbanding harga penutupan 48 sen pada 23 Jun 2020.

Muhammad Ikmal telah meningkatkan penguasaannya dalam WGB daripada 1,408,682,695 saham atau 57.4% kepada 1,469,289,695 saham atau 59.858% saham selepas pemerolehan semalam.

Ini menjadikan jumlah pegangan saham beliau dalam WGB bertambah kepada 64.20% selepas menambah pegangan saham langsungnya sebanyak 4.339%.

WBG ditubuhkan pada tahun 2002 terlibat dalam pengurusan kemudahan bersepadu, pembinaan, operasi dan penyelenggaraan, perkhidmatan mekanikal dan elektrikal, sistem automasi bangunan, pengurusan tenaga, pembangunan harta tanah, pendidikan, perkhidmatan media dan ICT, perhotelan, akuakultur dan minyak dan gas.

Manakala WGB pula adalah salah satu syarikat kontraktor lapan Bumiputera teratas dan 16 syarikat kontraktor teratas di Malaysia. – MalaysiaGazette