Ketua Protokol Kementerian Luar Negeri, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah bercakap ketika temubual eksklusif di Wisma Putra, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 17, JUN 2020.

PUTRAJAYA – Tajaan pihak korporat dan pertubuhan banyak membantu proses membawa balik ribuan rakyat Malaysia ke tanah air baru-baru ini.

Ketua Pasukan Petugas Covid-19 Kementerian Luar, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah berkata, masalah utama yang dihadapi untuk membawa balik warga Malaysia semasa wabak Covid-19 ini adalah penerbangan kerana banyak syarikat penerbangan membatalkan atau menggantung operasi mereka.

Namun, menurut Wan Zaidi, pihaknya bersyukur kerana ada syarikat korporat dan pertubuhan yang menaja penerbangan khas untuk membolehkan warga Malaysia yang terkandas di luar negara kembali ke tanah air.

“Mereka ini banyak membantu kita di mana di bawah tajaan korporat sahaja, kita (Wisma Putra) berjaya menyediakan lebih 15 penerbangan untuk membawa rakyat pulang Malaysia.

“Daripada jumlah itu, 12 penerbangan tajaan korporat ini adalah untuk membawa balik rakyat kita yang terkandas di India manakala selebihnya membawa warga kita yang terkandas di Bangladesh, Nepal, Kemboja dan sebagainya.

“Mereka ini dianggap rakyat Malaysia yang terkandas dalam kategori ‘kritikal’ kerana berada berada di luar negara dalam jangka masa pendek, contohnya yang terkandas ketika sedang melancong,” ujar Wan Zaidi.

Beliau berkata demikian dalam wawancara khas program Owh!MG terbitan Malaysia Gazette di Wisma Putra baru-baru ini.

Pasukan petugas yang diketuai oleh Wan Zaidi ini telah diarahkan penubuhannya oleh Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bagi menyelaras kerja-kerja membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara.

Ketua Protokol Kementerian Luar Negeri, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah (tengah) bergambar bersama petugas bilik operasi ketika membuat laporan khas di Wisma Putra, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 17, JUN 2020.

Mengulas lanjut, kata Wan Zaidi, ada juga rakyat Malaysia seperti pelajar-pelajar di luar negara yang sudah membeli tiket balik tetapi syarikat penerbangan mereka tidak memiliki kebenaran mendarat di lapangan terbang untuk membawa mereka pulang ke tanah air semasa tempoh penyebaran Covid-19 ini.

Dalam hal ini, katanya, pihak Kementerian Luar juga telah membantu dalam proses mendapatkan kebenaran tersebut.

“Dalam erti kata lain, dengan tajaan penerbangan, dengan kebenaran pendaratan dan kerjasama baik Kementerian Luar dengan negara-negara luar, akhirnya kita berjaya membawa balik ribuan rakyat kita yang terkandas untuk pulang ke Malaysia.

“Cuma saya nak bagitahu di sini, usaha untuk membawa pulang 189 jemaah tabligh kita dari India masih tidak dapat dilakukan ketika ini kerana mereka telah didakwa kerana melanggar undang-undang negara berkenaan, namun kami masih cuba membantu mereka melalui proses perundangan,” katanya lagi- Malaysia Gazette