KUALA LUMPUR – Pemain pertahanan Kedah, Azmeer Yusof mengumumkan dia meninggalkan pasukan itu kerana ingin menumpukan sepenuh perhatian dengan perniagaan.
Azmeer, 30, membuat pengumuman itu di Facebook miliknya sebentar tadi.
Pengesahan itu menamatkan spekulasi sebelum ini yang bertiup bahawa terdapat seorang pemain senior Hijau Kuning yang akan meninggalkan pasukan itu kerana masalah gaji.
Beberapa hari lalu, di media sosial sama, Azmeer turut berhasrat mewujudkan sebuah pusat pengajian Islam yang bakal diberi nama Pusat Pengajian Islam Azmeer Yusof di Kedah.
Pemain berusia 30 tahun itu yang aktif menjalankan beberapa perniagaan termasuk memiliki syarikat lori sampah AZYU Global Enterprise seperti yang dilaporkan sebelum ini turut menawarkan perkhidmatan gunting rambut percuma kepada golongan warga emas dan orang kurang upaya (OKU) di kedai miliknya di Alor Setar, AY Barber Shop.
Berikut adalah penjelasan Azmeer:
Assalamualaikum..
Dengan ini saya mengumumkan pengunduran saya dari pasukan Kedah FA. Keputusan ini bukanlah kerana masalah gaji tetapi kerana saya ingin menumpukan sepenuh perhatian kepada perniagaan saya.
Saya doakan yang terbaik buat pasukan Kedah FA. Semoga terus mencipta kejayaan di masa akan datang.
Ampun maaf dipinta kepada semua pihak seandainya kehadiran saya ke bumi Jelapang Padi tidak dialu-alukan. Sesungguhnya yang baik datang dari Allah Taala, yang buruk datang dari diri saya sendiri.
Kepada semua penyokong bola sepak Kedah FA, teruskan memberi sokongan kepada pasukan Kedah. Tanpa kalian, bola sepak tiada erti.
Maafkan saya, saya akan sentiasa rindukan sorakan
kalian.
Kepada penyokong bolasepak Kedah, saya bukan bekas pemain Kedah dan saya bukan legend anda. Tapi saya adalah sahabat kalian. Doakan segala urusan saya untuk bina Pusat Pengajian Islam Azmeer Yusof di Alor Setar tercapai denga izin Allah.
Pesanan saya yang terakhir kepada semua orang yang beragama Islam. Agama kita, kita jaga dan jangan sesekali tinggalkan solat lima waktu kerana itu soalan pertama Allah pada kita di Aaam sana nanti.
Maafkan saya dengan keputusan ini. – MalaysiaGazette