Dr. Noor Hisham Abdullah.

KUALA LUMPUR – Terdapat empat kes baharu dilaporkan sekali gus menjadikan menjadikan jumlah kes positif Covid-19 kini sebanyak 8,600 kes, kata Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua Pengarah, Kementerian Kesihatan Malaysia itu berkata, oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan wabak itu adalah sebanyak 208 kes.

Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Beliau memberitahu, daripada empat kes baharu itu, tiga kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar dan satu lagi kes penularan di dalam negara di mana semuanya merupakan warganegara Malaysia iaitu kes saringan Severe Acute Respiratory Infection (SARI) di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di Johor.

“Tiada penularan dalam negara di kalangan bukan warganegara dikesan pada hari ini.

“Sehingga kini, sebanyak dua kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noor Hisham turut memaklumkan tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini.

Justeru kata beliau, jumlah kumulatif kes kematian di negara adalah kekal sebanyak 121 kes iaitu 1.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Selain itu, terdapat 40 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

“Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 8,271 kes atau 96.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya. – MalaysiaGazete