Universiti Limkokwing kini telah mengembangkan semangat cintakan negara dan kesukarelawanan di kalangan belia di seluruh Malaysia.

CYBERJAYA – Nama Universiti Limkokwing memang tidak asing dengan pembangunan belia di negara ini berikutan menjadi sumber kekuatan dalam semua program berkaitan belia anjuran kerajaan.

Sokongan yang tidak berbelah bahagi ditunjukkan oleh institusi ini sejak dahulu dalam program berkaitan belia telah menaikkan reputasi Universiti Limkokwing dalam melahirkan potensi tertinggi generasi muda yang berupaya mendukung matlamat pembangunan negara.

Segala idea dalam meletakkan fokus kepada usaha meningkatkan keupayaan belia negara bagaikan menjadi agenda utama Presiden dan pengasasnya, Tan Sri Prof. Emeritus Dr. Lim Kok Wing.

Lihat sahaja usaha Kok Wing dalam mendekatkan diri kepada belia ketika menyokong program Rakan Muda yang diperkenalkan oleh kerajaan pada 1994.

Inisiatif  beliau ini telah membuka mata pelbagai pihak terutama apabila berjaya meningkatkan jumlah penyertaan belia negara bermula dengan program Rakan Muda sekali gus menjadi ikutan institusi pengajian tinggi lain di Malaysia.

Universiti Limkokwing kini bukan sahaja melahirkan belia berilmu namun berjaya membentuk generasi muda yang lengkap dengan gugusan nilai-nilai murni, berfikiran positif, menguasai ilmu dan kemahiran bagi menempuh kemajuan peradaban yang akan datang.

“Saya mengelar ia sebagai kuasa generasi muda kerana keupayaan untuk mengubah realiti kepada sesuatu yang diluar jangkauan.

“Malah saya juga merasakan generasi muda negara harus terus melangkah ke hadapan.

“Di sini (Universiti Limkokwing) juga dipanggil sebagai Penyatuan Bangsa kerana kami mempunyai pelajar lebih daripada 165 negara di sini dan lebih 80 peratus pelajar kami adalah pelajar antarabangsa,” kata universiti itu dalam satu kenyataan di sini.

Program Rakan Muda yang diperkenalkan oleh kerajaan pada 1994.

Usaha Universiti Limkokwing sentiasa seiring dengan segala program berkaitan belia ini termasuklah ketika kerajaan memperkenalkan 1Malaysia for Youth atau lebih dikenali sebagai IM4U.

Penglibatan Universiti Limkokwing dalam program berkenaan seiring dengan matlamat untuk memberikan inspirasi dalam merealisasikan impian selain menggalakkan aktiviti berkaitan sukarelawan.

Hasilnya dapat dilihat apabila Universiti Limkokwing berupaya mengembangkan semangat cintakan negara dan kesukarelawanan di kalangan belia di seluruh Malaysia.

Semangat cintakan negara dalam kalangan pelajar Universiti Limkokwing dapat dilihat apabila terciptanya jersi Harimau Malaysia yang dipakai oleh atlet negara sewaktu 2005.

Usaha anak-anak muda Universiti Limkokwing untuk menimbulkan satu konsep telah membanggakan Malaysia sehingga kini.

Tiga rekaan jersi yang terbaik telah dipilih dan rekaan ini telah direka semula oleh Kementerian Belia dan Sukan dengan kerjasama Universiti Limkokwing bagi menimbulkan satu impak yang positif dan memberi semangat juang yang tinggi kepada semua atlet negara.

Segala cabaran yang telah dilalui oleh Lim kok wing dalam usahanya memartabatkan golongan generasi muda wajar diberikan penghargaan kerana telah membuktikan bahawa kita boleh menjadikan sesuatu itu lebih berjaya sekiranya sanggup berganding bahu tanpa mengira kepentingan dan latar belakang. – MalaysiaGazette