Foto hiasan

PUTRAJAYA – Sebanyak 10 kes positif baharu Covid-19 dilaporkan alam temph 24 jam sehingga pukul 12 tengahari ini manakala 14 kes telah pulih dan dibenarkan discaj untuk tempoh tersebut.

Berikutan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 menurun kepada 187 kes dan jumlah kes positif Covid-19 adalah sebanyak 8,616 kes.

Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 8,308 kes (96.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 10 kes baharu yang dilaporkan, empat kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

Ia melibatkan seorang warga Malaysia dan tiga bukan warga negara yang merupakan pemastautin atau dibenarkan masuk ke Malaysia di atas urusan kerja, katanya.

“Daripada enam kes penularan di dalam negara, empat kes adalah di kalangan warganegara dan dua kes adalah di kalangan bukan warganegara Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut Noor Hisham, satu kes melibatkan pra pembedahan dilaporkan di Selangor manakala tiga lagi kes dilaporkan di ibu negara iaitu daripada saringan pelajar tahfiz.

Menuirutnya, dua kes jangkitan dalam negara dalam kalangan bukan warga negara membabitkan kes saringan Orang Kena Tuduh (OKT) yang baru dimasukkan ke lokap di Negeri Sembilan manakala satu lagi kes saringan tempat kerja kontraktor di Sabah.

“Sehingga kini, sebanyak dua kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes yang memerlukan bantuan alat pernafasan,” ujarnya.

Noor Hisham berkata, tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini dan jumlah kematian kekal sebanyak 121 kes, atau 1.40 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. – MalaysiaGazette