Ismail Sabri Yaakob.

CHINI – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau tidak tahu bagaimana namanya digunakan sebagai ahli penaja penubuhan parti baharu.

Menyifatkan sebagai tuduhan mengarut, Menteri Kanan Keselamatan itu memberitahu, ia jelas cubaan untuk mengelirukan rakyat khususnya pengundi Chini.

“Saya pun tidak tahu. Ini dakwaan mengarut. Nama saya pun ada, saya sudah nyatakan hidup mati saya dengan UMNO.

“Saya pun tidak tahu siapa yang masukkan nama saya. Ini cuma nak mengelirukan orang ramai,” katanya ketika ditemui media di Rumah UMNO Chini 5, sebentar tadi.

Tambah Ahli Parlimen Bera itu, beliau terperanjat apabila ditanya mengenai dakwaan itu semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tiada sebarang perbincangan untuk menubuhkan parti baru dalam kerajaan Perikatan Nasional.

“Dalam kempen PRK ini tiba-tiba keluar berita ini. Semua ini untuk mengelirukan pengundi dan sebagainya.

“Saya tidak tahu, ini saja nak nampakkan ada masalah dalaman kerajaan yang ada hari ini. Sebab nama-nama itu bercampur-campur.

“Sebagai Naib Presiden UMNO, saya akan pertahankan parti dan terus bersama UMNO,” katanya lagi.

Baru-baru ini tersebar kertas cadangan penubuhan Parti Reformasi Bersatu Negara yang didakwa gabungan baharu dalam kerajaan Perikatan Nasional.

Senarai penaja parti itu adalah Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi Parti Reformasi Bersatu Negara (Parti Negara), bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Ketua Umum, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein sebagai Presiden dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Presiden.

Dalam pada itu, Ismail berkata, jentera Barisan Nasional (BN) tidak perlu selesa dengan anggapan bahawa parti itu akan menang mudah di PRK Chini.

Jelasnya, semua jentera harus digerakkan sepenuhnya bagi memastikan kemenangan bergaya pada PRK kali ini.

“Saya minta kepada pengundi Chini pertandingan tetap pertandingan walaupun kita jangka boleh menang tapi jangan ambil mudah.

“Pengundi di luar balik untuk undi jangan kata tidak mahu balik mengundi sebab kita sudah gerinti menang.

“Kita mesti anggap setiap pertandingan itu risikonya sama walaupun kita rasa boleh menang. Jangan ambil ambil lewa sehingga keputusan diumumkan kita mesti bekerja kuat untuk pastikan kemenangan parti,” katanya lagi. – MalaysiaGazette