Barisan ahli MPPN yang baharu dilantik.

KUALA LUMPUR – Parti Sosialis Malaysia (PSM) kesal dengan lantikan Majlis Penasihat Pertanian Negara (MPPN) yang didakwa tidak melibatkan pesawah, petani, nelayan dan penternak.

Ahli Jawatankuasa Pusatnya, Sharan Raj berkata, Menteri Pertanian dan Industri Makanan seharusnya melantik wakil daripada golongan pesawah, petani, nelayan dan penternak yang sedang bertungkus-lumus menghasilkan stok makanan negara berbanding memilih kapitalis, pengimport makanan dan orang tengah yang tidak terlibat dalam sektor asas pertanian negara.

Malah, katanya, kebanyakan ahli akademik yang dilantik ke dalam MPPN tidak terlibat atau memiliki realiti tentang sektor pertanian negara.

”Hampir 40 tahun, polisi pertanian Kerajaan Persekutuan telah gagal memastikan kedaulatan makanan negara sehingga import makanan mencecah lebih RM50 bilion setahun.

Artikel berkaitan: 12 dilantik Ahli Majlis Penasihat Pertanian Negara

”Malaysia telah hilang kedaulatan makanan kerana Putrajaya melantik individu bersifat elitis yang membuat polisi pertanian yang sangat teruk,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sewajarnya, MPPN dianggotai oleh golongan penghasil makan seperti pesawah, petani, nelayan dan penternak untuk merangka polisi yang inklusif untuk memperkasakan sektor pertanian.

Katanya, kegagalan Kerajaan Persekutuan untuk memastikan kedaulatan makanan negara akan berterusan tanpa pemahaman realiti pertanian daripada perspektif penghasilan makanan. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Betul kata psm. Jangan fikir punyai phd sudah cukup untuk membuat dasar tanpa pandangan dari orang2 berpengalaman.

  2. Betul. Patut ada gabungan seimbang individu yg matlamat hati mereka ialah perkasa pertanian negara. Bukan yg nak buat bisnes semata mata. Sbb yg dok buat polisi kadang2 tu oegang cangkul pun tak pernah!

Comments are closed.