alergi merujuk kepada pertahanan badan yang berlebihan (hipersensitif) terhadap bendasing yang biasanya tidak merbahaya seperti makanan, debunga ataupun bulu binatang.- Gambar hiasan.

ALERGI, resdung dan sinus secara umumnya merupakan penyakit atau simptom yang biasa dihidapi oleh majoriti rakyat negara ini namun ramai yang tidak mengetahui ketiga-tiga penyakit itu sebenarnya tidak sama dan mempunyai perbezaan antara satu sama lain.

Pakar Telinga, Hidung dan Tekak Hospital Pakar KPJ Perlis, Dr. Zulkifli Hamir Basah menjelaskan, alergi merujuk kepada pertahanan badan yang berlebihan (hipersensitif) terhadap bendasing yang biasanya tidak merbahaya seperti makanan, debunga ataupun bulu binatang.

Dr. Zulkifli Hamir Basah.

“Kesan alergi ini cukup signifikan iaitu boleh menyebabkan hidung berair, gatal atau tersumbat. Penyakit ini digelar allergy rhinitis (rinitis alergi) atau lebih sinonim dipanggil resdung oleh masyarakat di negara kita.

“Resdung merujuk kepada radang membran mucus hidung akibat tindak balas alergi. Majoriti pesakit yang menghidap resdung alah kepada makanan laut.

“Pesakit akan mengalami simptom berulang apabila sering terdedah kepada bahan yang menyebabkan alergi yang dikenali allergen (alergen),” katanya baru-baru ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Zulkifli memberitahu, sinus bukannya merupakan penyakit tetapi merujuk kepada struktur rongga yang terdapat dalam tulang muka seseorang.

“Sinus dilapisi mukosa yang mengandungi sel-sel untuk merembeskan mucus (pelincir) untuk melindungi lapisan mukosa itu. Apabila sistem rembesan ini terganggu dan tidak berfungsi secara normal menyebabkan jangkitan kuman mudah berlaku di dalam sinus yang dinamakan sinusitis (keradangan sinus tengkorak disebabkan jangkitan atau alahan).

“Simptom sinutisis biasanya lebih teruk daripada penyakit resdung dan rinitis alergi kerana mampu menyebabkan seseorang demam, sakit kepala, nafas berbau selain lendir hidung yang berwarna kuning atau hijau selain sakit di bahagian muka dan kepala,” katanya.

Namun alergi, resdung dan sinus boleh dirawat.

Kata Zulkifli, bagi pesakit resdung sebaiknya mereka berjumpa doktor di klinik dan hospital kerajaan atau swasta terlebih dahulu berbanding menggunakan mekanisme rawatan tradisional yang boleh diragui cara rawatannya.

“Doktor terlatih akan memeriksa sejarah penyakit pesakit terlebih dahulu sebelum melakukan pemeriksaan. Kebiasaannya, pemeriksaan dalaman hidung menggunakan kamera khas (endoscopy) untuk mengesan adakah terdapat struktur dalam hidung yang tidak normal atau ketumbuhan yang boleh
memberikan simptom yang sama seperti alergi atau penyakit sinus.

“Namun, jika pemeriksaan mendapati hidung hanya mengalami rinitis alergi, kaedah rawatannya ialah pengambilan ubat-ubatan dalam bentuk sirap atau tablet atau digabungkan dengan penggunaan semburan hidung.

“Selain itu, terdapat juga ubat dalam bentuk larutan yang boleh digunakan sebagai pembersihan saluran hidung serta melembapkan lapisan dalam hidung. Kaedah ini boleh membantu mengurangkan alergen daripada berada di lapisan hidung serta mencetuskan reaksi alergi.

“Rawatan lain seperti immunoterapi tetapi tidak begitu popular di negara kita memandangkan kos yang mahal,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pengambilan ubat dengan betul dan konsisten akan menunjukkan hasil yang positif iaitu gejala alergi akan berkurangan.

“Bagi pesakit yang tidak dapat mengenalpasti apa yang menyebabkan mereka mengalami alahan pula boleh menjalani ujian darah atau ujian alergi.

“Namun yang terbaik ialah pesakit mempunyai kesedaran yang tinggi untuk mengelakkan diri terdedah pada bahan alergen yang mencetuskan alergi itu,” katanya.- MalaysiaGazette


Artikel sumbangan Pegawai Perhubungan Awam Hospital Pakar KPJ Perlis, MEGAT LUTFI MEGAT
RAHIM.