Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

KUALA LUMPUR – Bekas Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin menasihati bekas presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar memperkukuhkan parti itu terlebih dahulu sekiranya berhasrat untuk menjadi perdana menteri.

Beliau yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, ini kerana parti yang kuat adalah asas untuk presidennya menjadi pemimpin utama negara.

Jelas beliau, pergolakan yang berlaku dalam PKR ketika ini sepatutnya menjadi pengajaran kepada Anwar untuk memperkukuhkan parti.

“Sepatut (penyingkiran pemimpin) diambil sebagai proses pembelajaran kepada parti presiden untuk internalise apa yang patut dibuat dalam usaha memperkuatkan parti.

“Sebelum saya tinggalkan parti, saya sudah beritahu presiden perlu lihat bagaimana memperkuatkan parti dan seterusnya baru menjadi Perdana Menteri.

“Kalau parti tak kuat dan tak kukuh, macam mana nak jadi perdana menteri, itu benda asas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Anugerah Asia Pacific Conference of Young Scientist 2019 anjuran Yayasan Pendidikan Cheras di sini hari ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin menyampaikan anugerah kepada Muhammad Harraz Nazhan Mohd Yusni (kanan) pada Majlis Penyampaian Anugerah Asia Pacific Conference of Young Scientist 2019 di Pusat Rekreasi Cheras, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 30 JUN 2020.

Beliau diminta mengulas tindakan PKR yang memecat serta-merta keanggotaan lima pemimpin termasuk Ketua Wanita Keadilan Pusat yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN Lembah, Haniza Talha yang merupakan penyokong Zuraida kuat selama ini.

Turut dipecat ialah Dr. Afif Bahardin (DUN Seberang Jaya) dan Zulkifli Ibrahim (DUN Sg. Acheh) manakala dua lagi ialah Ketua Wanita Keadilan Sabah, Rahimah Majid, dan Ketua Wanita Keadilan Pulau Pinang, Nur Zarina Zakaria.

Mengulas penolakan Anwar sebagai calon Perdana Menteri kesembilan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang tidak mahu terlibat dalam pertelingkahan dua pemimpin senior itu.

“Mereka sudah lama bergaduh dan saya tak mahu terlibat serta mahu tumpu kepada kerja saya,” katanya.

Baru-baru ini, bekas Perdana Menteri ketujuh, Dr Mahathir menamakan Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri untuk Pakatan Harapan (PH) Plus. – MalaysiaGazette