Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyambut baik keputusan kerajaan melaraskan mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) bermula 1 Julai hingga 31 Disember ini.

Kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, kaedah itu akan dapat memastikan pengguna menerima manfaat daripada harga elektrik dengan adil dan telus.

“Kami menyokong keputusan untuk meneruskan ICPT iaitu satu mekanisme yang begitu bermanfaat kepada industri elektrik sejak 2014 dan ia kekal relevan dalam persekitaran harga bahan api yang tidak menentu.

“Sebagai syarikat utiliti, TNB dikawal selia oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) dan beroperasi dalam persekitaran yang terkawal, termasuk oleh mekanisme ICPT. Seperti yang ditetapkan oleh keputusan ST menerusi ICPT, TNB akan memaparkan perubahan pada kos bahan api dan lain-lain kos penjanaan dalam tarif elektrik pada setiap enam bulan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kerajaan memutuskan untuk meneruskan pelaksanaan mekanisme ICPT bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember dengan menurunkan kadar surcaj sebanyak dua sen/kilowatt-jam (kWj) kepada 0 sen/kWj untuk pengguna bukan domestik iaitu pengguna komersial dan industri.

ST sebekum itu berkata, bagi pengguna domestik, kadar tarif elektrik adalah kekal seperti sedia ada iaitu tanpa sebarang surcaj.

Mekanisme ICPT sebahagian daripada kerangka kerja kawal selia berasaskan insentif (IBR) bagi menetapkan dan melaraskan tarif elektrik di Semenanjung Malaysia bagi tempoh 2018 hingga 2020.

Mengulas lanjut, Amir menyifatkan pengurangan ICPT sebagai gambaran penurunan sebenar harga bahan api global untuk tempoh enam bulan lalu.

Untuk tempoh Januari hingga Jun lalu, kos bahan api menurun sejajar dengan kejatuhan harga bahan api sebenar di bawah penanda aras harga bahan api yang ditetapkan dalam tarif asas untuk Tempoh Kawal Selia 2 (RP2) bermula 2018 hingga 2020.

Purata Applicable Coal Price (ACP) untuk Januari hingga Jun 2020 berada pada USD69.5/MT, berbanding harga penanda aras arang batu yang ditetapkan dalam tarif asas pada USD75/MT.

Sementara itu, harga gas untuk tempoh sama ialah RM26.6/mmBTU iaitu lebih rendah berbanding harga penanda aras gas yang ditetapkan dalam tarif asas pada RM27.20/mmBTU.

“Perubahan harga bahan api tidak dipaparkan serta-merta dalam tarif kepada pengguna kerana terdapat perbezaan masa kira-kira sembilan bulan antara pergerakan harga bahan api dan tempoh
sebenar pergerakan memberi kesan kepada sektor tenaga,” jelas beliau.

Amir berkata, TNB sebagai syarikat utiliti utama terus komited untuk memastikan pelanggan kami mendapat bekalan elektrik yang stabil dan perkhidmatan pelanggan yang bertaraf dunia, serta kekal utuh dalam usaha menerangi kehidupan rakyat.-MalaysiaGazette