Orang ramai menonton filem dalam situasi norma baharu dengan mematuhi SOP pada hari pertama dibuka semula berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di pawagam Golden Screen Cinema IOI City Mall, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 01 JULAI 2020

PUTRAJAYA – Lebih tiga bulan panggung wayang di seluruh negara tidak dibenarkan beroperasi ekoran penularan wabak Covid-19 menjadikan ‘kaki wayang’ teruja untuk kembali ke pawagam bagi menonton filem terbaharu.

Tinjauan MalaysiaGazette di Golden Screen Cinemas (GSC) IOI City Mall pada hari pertama pembukaan semula aktiviti pawagam mendapati para pengunjung tidak lagi kekok dalam mengamalkan normal baharu dan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Sebelum memasuki premis, setiap pengunjung diwajibkan untuk mengimbas kod QR aplikasi MySejahtera serta diperiksa suhu badan oleh pekerja pawagam.

Penanda arah bagi penjarakan sosial jelas dilekatkan di atas lantai untuk memudahkan pengunjung mematuhi jarak selamat satu meter selain notis-notis peringatan tentang SOP di dalam pawagam turut ditampal.

Suasana normal baharu di dalam pawagam menyaksikan pengunjung tidak lagi dibenarkan duduk secara bersebelahan walaupun datang bersama rakan mahupun keluarga.

Sejurus filem tamat ditayangkan beberapa pekerja segera melakukan proses pembersihan dengan menyembur cecair nyahkuman di kerusi-kerusi pawagam sebelum tayangan seterusnya bermula.

Temubual bersama pengunjung, Daniel Abd Karim pada hari pertama dibuka semula berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di pawagam Golden Screen Cinema IOI City Mall, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 01 JULAI 2020

Pengunjung, Daniel Abd Karim berkata, dia berasa seronok kerana dapat melakukan aktiviti kegemarannya semula selepas lebih tiga bulan tidak dapat menonton wayang

“Perasaan masih 50-50, ada seronok ada risau kerana virus ini memang bahaya lagi-lagi kita tak nampak.

“Walaupun perlu duduk jarak-jarak dengan rakan tapi bagi saya itu bukan lah satu masalah kerana sebagai orang awam kita perlu akur segala SOP yang dikeluarkan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.

Temubual bersama pengunjung, Syazmir Aiman Amran pada hari pertama dibuka semula berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di pawagam Golden Screen Cinema IOI City Mall, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 01 JULAI 2020

Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Syazmir Aiman Amran berkata, pematuhan terhadap SOP merupakan perkara penting yang perlu dititik beratkan terutamanya ketika berada di tempat tumpuan pengunjung.

“Masa nak beli tiket wayang secara atas talian saya masih ada rasa ragu dan tertanya-tanya tentang SOP di dalam premis.

“Tetapi seperti yang saya dapat lihat keadaan normal baharu telah pun menjadi kebiasaan dalam kalangan orang awam misalnya memakai pelitup muka dan tidak berada terlalu dekat dengan orang lain.

“Jadi selepas tiga bulan tak dapat tengok wayang, saya bersama rakan memang ternanti-nanti filem baharu. Malam ini kami tonton filem Digimon, selalunya filem Jepun lambat disiar atas talian jadi memang sudah lama kami tertunggu-tunggu untuk menonton cerita ini,” ujarnya.

Pekerja melakukan kerja-kerja pembersihan selepas tamat tayangan filem pada hari pertama dibuka semula berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di pawagam Golden Screen Cinema IOI City Mall, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 01 JULAI 2020

Pada 22 Jun lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melalui sidang media hariannya mengumumkan aktiviti pawagam, teater dan acara secara langsung dibenarkan dibuka semula di dewan tertutup sahaja bermula 1 Julai dengan kehadiran tidak lebih 250 orang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast