KUALA LUMPUR – Indeks nilai seunit eksport dan import pada bulan Mei 2020, masing-masing terus jatuh sebanyak 3.7 peratus dan 1.4 peratus.

Berasaskan bulan ke bulan, indeks nilai seunit eksport Mei 2020 menyusut 3.7% kepada 109.9 mata yang disebabkan oleh penurunan indeks minyak galian (-20.5%), minyak & lemak binatang & sayur-sayuran (-6.2%) dan alat jentera & kelengkapan pengangkutan (-0.4%).

Manakala, indeks volum eksport meningkat 0.4% kepada 107.2 mata yang disebabkan oleh kenaikan indeks pelbagai barang keluaran kilang (+23.8%), minyak & lemak binatang & sayur-sayuran (+13.7%) dan barang-barang keluaran kilang (+13.1%).

Bagi data pelarasan musim, indeks volum eksport mencatatkan peningkatan kecil 0.2% kepada 106.4 mata.

Berbanding tahun sebelumnya, kedua-dua indeks nilai seunit dan indeks volum eksport masing-masing jatuh 4.7% dan 21.9%, kata Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Menurut beliau, pada Mei 2020, indeks nilai seunit import merekodkan penyusutan 1.4% kepada 113.1 mata berbanding bulan sebelum, yang disebabkan oleh kejatuhan indeks minyak galian (-12.5%), minyak & lemak binatang & sayur-sayuran (-5.5%) dan alat jentera & kelengkapan pengangkutan (-0.4%).

Sementara itu, indeks volum import turut mencatatkan kejatuhan 22.6% kepada 105.0 mata. Kejatuhan ini disebabkan oleh penurunan indeks minyak galian (-29.5%), alat jentera & kelengkapan pengangkutan (-27.7%) dan barang-barang keluaran kilang (-23.5%).

Katanya, bagi data pelarasan musim, indeks volum import pada Mei 2020 susut 28.1% kepada 101.2 mata.

Berbanding tahun sebelumnya, kedua-dua indeks nilai seunit dan indeks volum import masing-masing mencatatkan penurunan 4.9% dan 26.8%.”

Dalam masa yang sama, Jabatan Perangkaan Malaysia turut melaporkan bahawa terma perdagangan Malaysia menyusut 2.3% kepada 97.1 mata berbanding April 2020.

Berasaskan tahun ke tahun, terma perdagangan Malaysia mencatatkan pertumbuhan kecil sebanyak 0.2% daripada 96.9 mata. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast