Seorang pengundi membuang kertas undi ke dalam peti undi pada hari mengundi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.23 Chini di Kafa Kelas Al-Quran dan Fardu Ain Felda Chini 3, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 04 JULAI 2020

CHINI – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini memaklumkan peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini dilihat amat memberangsangkan.

Menurut Timbalan Pengerusi SPR, Prof Dr Azmi Sharom sebanyak 23 peratus pengundi telah keluar mengundi setakat jam 10 pagi tadi.

“Peratusan mengundi setakat jam 10 pagi tadi sudah 23 peratus keluar mengundi.

“Ini adalah satu angka yang boleh dikira sebagai amat menggalakkan dan lebih kurang sama macam PRK yang lain,” katanya dalam sidang media selepas melawat pusat pengundian di Sekolah Kafa Chini 3 hari ini.

Menurut Dr Azmi, pihaknya amat berpuas hati terhadap kepatuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah diperintah oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Bagaimanapun, berkata berkata, proses pengundian di semua pusat pengundian didapati sedikit perlahan kerana pengundi terpaksa melalui beberapa proses saringan.

“Kami mendapati bahawa SOP telah dipatuhi dengan sebaik mungkin dan yang agak sukar adalah penjarakan sosial. Tetapi secara amnya pengundi telah menunggu di dewan mengundi dan ia dipatuhi dengan baik.

“Tapi agak perlahan sebab banyak proses yang perlu dijalani oleh pengundi seperti pemakaian sarung tangan.

“Proses mengundi itu agak perlahan sedikit jika dibandingkan dengan PRK biasa,” katanya lagi.

Seramai 20,816 pengundi mengundi hari ini bagi memilih salah satu daripada tiga calon iaitu Mohd Sharim Md Zain, 41, daripada BN dan dua calon bebas, Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli.

Kerusi DUN Chini kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, susulan serangan jantung pada 7 Mei.

Kerusi majoriti Melayu itu merupakan salah satu daripada empat kerusi DUN di bawah kawasan Parlimen Pekan yang disandang bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Pada PRU14, Abu Bakar memperoleh majoriti 4,622 untuk menang menentang calon Pas, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim dan calon PKR, Mohamad Razali Ithnain dari PKR (1,065). – MalaysiaGazette